Haji dan mesej penyatuan ummah

- Advertisement -

PADA 10 Zulhijjah, umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji. 1.5 juta umat Islam seluruh dunia bersatu dan berhimpun di Kota Mekah meraikan kejayaan menjadi tetamu Allah SWT menunaikan ibadah haji di sana.

- Advertisement -

Di  tanahair kita, mesej kesatuan dan penyatuan ummah ini merupakan satu tuntutan yang sangat mendesak melihatkan perkembangan semasa yang mencabar status serta kedudukan umat Melayu Islam di sini.

Dalam keadaan lemah dan berpecah-pecah kesedaran untuk mengambil iktibar dari mesej 10 Zulhijjah ini sangat diharapkan semoga umat Melayu Islam di sini akan kembali kukuh kekuatan mereka. 

Hari ini kita berhadapan dengan situasi yang cukup kritikal. Institusi Raja-raja Melayu yang merupakan payung kepada agama dan bangsa serta disanjung rakyat jelata kini berani dicabar dan dipertikaikan.

Perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti umat Melayu Islam yang dahulunya diurus serta dirunding dengan baik, hari ini turut cuba diganggu dengan pelbagai alasan termasuklah kononnya hak dan kebebasan. Keharmonian hidup sesama rakyat menjadi tegang apabila ada pihak yang memiliki dominasi kuasa politik cuba mendesak dan memaksa agenda mereka.

Justeru, sangat kena pada tempatnya buat umat Melayu Islam sempena bulan Zulhijjah yang mulia ini meneliti dan mengambil iktibar dari titah DYMM Sultan Selangor, yang cukup prihatin akan nasib yang menimpa umat Melayu Islam. 

Sempena Aidil Adha baginda bertitah, “Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam. Mengambil teladan dari itu, beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata. Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah”.

Tuanku menambah bahawa perpecahan orang Melayu itu membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa di tanah air sendiri.

Jelas titah Tuanku ini umum dan PAS melalui Timbalan Presidennya menyatakan yang PAS bersedia menjunjung titah Tuanku yang bijaksana itu. Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man malah menegaskan orang Melayu Islam perlu perkukuhkan penyatuan mereka demi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan umat serta menggugat perpaduan masyarakat sebagaimana dibimbangi Tuanku dan umat Melayu amnya.

Isu di hadapan kita adalah sesuatu yang sangat serius, jika kita tidak menanganinya dengan baik tidak mustahil ia kelak mampu menjadi lebih keruh dan yang rugi sudah pastilah umat Melayu Islam itu sendiri. Dato Sri Tuan Ibrahim menggariskan bahawa perjuangan mendaulatkan bangsa dan agama hanya akan berjaya kiranya parti-parti politik Melayu bersatu di bawah sebuah gabungan besar yang kukuh.

Realitinya, umat Melayu Islam di tanahair kita sudah bersedia melakukan perubahan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang ada agar kekuatan politik ummah kembali mendominasi tunggak kuasa. 

Mereka sudah bosan dan benci melihat kesan perpecahan ini yang banyak merugikan kita semua. Wajarlah parti-parti politik Melayu menyahut suara ummah ini, bersama kita bina kembali kekuatan politik yang terlerai akibat persengketaan sesama kita.  

Kata tua kata bermanfaat,
Banyak manfaat dapat dirasa,
Hina bangsa tiada muafakat,
Tidak muafakat umat binasa.

ROSLAN SMS

HARAKAHDAILY 28/5/2026

- Advertisement -