PAS lancar Tabung Kemanusiaan Solidariti ‘Aid 4Iran’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS melancarkan tabung ‘Aid 4Iran’ bagi mengumpulkan dana membantu rakyat Republik Islam Iran yang terkesan akibat peperangan dan kemusnahan susulan kekejaman Amerika Syarikat dan Israel menyerang negara itu.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seluruh rakyat Malaysia perlu mengetepikan perbezaan politik dan mazhab demi menyatakan solidariti terhadap rakyat Iran yang sedang berdepan tekanan serta serangan berterusan.

- Advertisement -

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika merasmikan pelancaran tabung berkenaan yang dianjurkan PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, di sini sebentar tadi.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil serta Pengerusi Sekretariat Aid 4Iran, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman serta wakil Iran, Voliullah Muhammad Nasrabandi.

Dalam ucapannya, beliau mengimbau tragedi gempa bumi di Bam, Iran pada 26 Disember 2003 yang mengorbankan hampir 26,000 nyawa selain mencederakan puluhan ribu penduduk.

Katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, PAS ketika itu turut mengumpulkan dana dan menghantar bantuan terus kepada mangsa di negara berkenaan.

“Antara kesan besar tragedi itu ialah musnahnya Arg-e Bam, kubu tanah liat tertua di dunia yang berusia kira-kira 2,000 tahun dan menempatkan universiti, hospital serta pelbagai kemudahan lain,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman membantu rakyat Iran sejak tragedi berkenaan menjadikan PAS sentiasa prihatin terhadap penderitaan yang menimpa negara itu.

Mengulas situasi geopolitik semasa, beliau berpendapat Iran tidak pernah menyerang mana-mana negara, sebaliknya terus dikenakan tekanan dan sekatan oleh Amerika Syarikat kerana pengaruh Israel.

Katanya, tindakan Amerika terhadap beberapa negara termasuk Iraq, Libya, Venezuela dan Cuba membuktikan kuasa besar itu sedang mencetuskan permusuhan di banyak tempat.

“Hari ini kita menyaksikan rakyat Amerika sendiri mula bangkit menentang presiden mereka akibat kesan peperangan. Harga petrol di sana meningkat dan rakyat mula merasai kesannya,” ujarnya.

Beliau turut menasihati dan menyeru seluruh umat Islam supaya tidak terperangkap dengan sentimen mazhab yang boleh memecahbelahkan umat.

“Jangan kita terperangkap dengan naratif musuh sehingga ada yang berat hendak menyebut Iran dalam doa hanya kerana isu mazhab. Macamlah Amerika itu Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya disambut gelak hadirin.

Tuan Ibrahim turut berkongsi pengalaman Allahyarham Syeikh Ismail Haniyeh yang memuji rakyat Malaysia kerana mampu mengetepikan perbezaan politik dalam isu melibatkan Palestin.

“Dalam isu melibatkan musibah umat Islam, kita mesti bersatu. Jangan ada pihak cuba membangkitkan sentimen yang memecah-belahkan umat,” tegasnya mengajak semangat sama diteruskan dalam membantu Iran dan negara Islam lain yang dizalimi.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya menyumbang mengikut kemampuan masing-masing sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga atau doa.

“Walaupun sumbangan kita tidak sebesar mana dibandingkan penderitaan yang mereka tanggung, paling penting ialah solidariti kita bersama mereka yang dizalimi,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -