
KUALA LUMPUR: Ketetapan baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai laluan khas kepada pelajar lepasan tahfiz, sekolah swasta dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dilihat menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya berkata, kebimbangan utama timbul apabila langkah itu berpotensi membuka ruang kepada pengiktirafan lebih luas terhadap sistem pendidikan UEC dalam negara.
Menurutnya, pemberian laluan khas kepada lepasan tahfiz tidak menimbulkan isu besar kerana golongan tersebut masih berada dalam kerangka sistem pendidikan negara, selain kebanyakan institusi tahfiz bergerak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.
“Malah selama ini lepasan tahfiz juga mengambil peperiksaan SPM secara ‘fast track’ untuk melayakkan mereka memasuki IPTA,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, persoalan utama tertumpu kepada keputusan melibatkan lepasan UEC yang turut diberikan laluan khas sama.
Menurut beliau, pengiktirafan terhadap lepasan UEC secara tidak langsung boleh ditafsir sebagai pengiktirafan terhadap keseluruhan kerangka pendidikan UEC dalam negara, sekali gus menjadi titik pertikaian yang dianggap genting.
“Difahamkan, laluan khas itu disediakan khusus kepada lepasan UEC untuk mengikuti program tertentu seperti Sastera Pengajian Bahasa Cina, Bahasa dan Linguistik Cina serta Sastera Pengajian Cina.
“Namun begitu, timbul persoalan sama ada langkah berkenaan akan membuka ruang lebih luas kepada IPTA untuk mengiktiraf UEC secara menyeluruh pada masa hadapan.
“Kita melihat ada pihak tertentu yang konsisten memperjuangkan UEC untuk diterima masuk ke IPTA dan sektor awam seolah-olah aliran pendidikan kebangsaan tidak mempunyai nilai,” katanya.
Menurut beliau lagi, bantahan terhadap UEC bukan berpunca daripada unsur kebencian, diskriminasi atau penindasan, sebaliknya berasaskan faktor bahasa, sistem pendidikan serta kebimbangan terhadap aspek perpaduan nasional.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah turut menegaskan bahawa sistem pendidikan UEC berbeza dengan institusi tahfiz di mana pada asasnya selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.
Sehubungan itu, beliau meminta KPT tampil memberikan penjelasan menyeluruh berhubung pelaksanaan laluan khas berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.
“KPT bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara ini. Jangan baling batu sembunyi tangan,” katanya.
Terdahulu, KPT mengumumkan bahawa calon lepasan tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini berpeluang mengikuti program tertentu di IPTA.
Perkara itu dipersetujui menerusi keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran pendidikan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Menurut KPT, calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon pelbagai program pengajian melalui sistem UPUOnline seperti biasa.
Permohonan tersebut akan dinilai berdasarkan merit serta pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). – HARAKAHDAILY 15/5/2026











