
GEORGE TOWN: Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (PN-Penaga) mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi perhatian serius terhadap kebajikan pesawah, pembangunan semula kemudahan rakyat serta isu keselamatan awam.
Beliau berkata, penduduk di kawasan Penaga khususnya golongan pesawah, nelayan dan komuniti setempat terus berdepan tekanan kos sara hidup, selain kekurangan kemudahan asas yang masih belum diselesaikan.
Menurutnya, pembinaan semula Dewan Orang Ramai Pekan Penaga yang terbakar sejak 2023 masih belum dilaksanakan walaupun sebelum ini dimaklumkan ia telah disenaraikan untuk dibina semula.
Perkara tersebut diketengahkan beliau ketika mengambil bahagian dalam perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.
“Rakyat Penaga sudah menunggu terlalu lama. Dewan ini bukan sekadar bangunan, tetapi pusat penyatuan masyarakat, tempat program komuniti dan aktiviti belia,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan percanggahan jawapan kerajaan negeri apabila pada 2023 projek pembinaan semula dewan itu dikatakan berada dalam perancangan, namun jawapan terkini menyatakan permohonan masih belum diterima.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan nasib pesawah yang kini berdepan peningkatan kos operasi sawah termasuk sewaan traktor, kerja perataan tanah, penggunaan traktor berantai dan mesin menuai yang meningkat hampir 50 peratus.
Kata Ustaz Mohd Yusni yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, keadaan tersebut semakin membebankan apabila harga jualan padi masih kekal sekitar RM1,500 satu tan sahaja.
“Pesawah hari ini tanam padi bukan untuk keuntungan, tetapi sekadar menambah hutang. Mereka sangat memerlukan bantuan khas dan perhatian serius kerajaan,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian bantuan sekali beri kepada pesawah sebagaimana pernah dilaksanakan sebelum ini selain mendesak semakan semula harga lantai padi bagi menjamin kelangsungan sektor pertanian.
Menurut beliau yang juga Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), aspek jaminan keselamatan makanan perlu diberi perhatian serius terutama dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.
Selain itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kekerapan kemalangan di simpang Caltex Bakar Kapur dan meminta tindakan segera dilakukan termasuk penambahbaikan infrastruktur jalan raya bagi mengelakkan kehilangan nyawa.
Beliau dalam masa sama menyatakan sokongan terhadap usaha mengekalkan Hutan Simpan Kuala Bekah dan kawasan bakau Penaga sebagai sebahagian laluan migrasi burung air antarabangsa.
Menurutnya dalam perbahasan dikemukakan itu, East Asian-Australasian Flyway tersebut adalah penting kepada keseimbangan alam sekitar serta perlindungan bencana.
“Sidang dewan ini adalah medan membawa suara rakyat, bukan sekadar pentas politik. Kepentingan rakyat mesti mengatasi segalanya,” ujarnya mengingatkan dewan. – HARAKAHDAILY 15/5/2026











