
ALOR SETAR: Kementerian Ekonomi disarankan agar melakukan meninjau serta melawat projek-projek masih tergendala dikendalikan di bawah Kerajaan Persekutuan yang ada di merata negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, di Kedah juga terdapat banyak projek ‘sangkut’ seumpama yang masih gagal disiapkan seperti dijadualkan.
Beliau merujuk antaranya Klinik Padang Serai, Rumah Kenangan Bedong, Mahkamah di Batu 5, Sik serta Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Pendang dan Anak Bukit.
“RTB Pendang dan Anak Bukit itu sampai sekarang tak siap-siap lagi. Projek mula tahun 2011 lagi. Mahkamah di Sik tu, tukar kontraktor lain pun projek tak jalan.
“Pasai apa tak pi melawat? Pi la melawat sekali. Projek ni kos lebih mahal, melibatkan berbilion-billion ringgit. Di KEDA pun ada projek sakit. Awat tak pi tengok?” kata beliau ketika ditemui media, semalam.
Tegasnya lagi, apakah tujuan sebenar sekiranya, menteri datang ke negeri ini sekadar hendak buat ‘content’ untuk membina persepsi buruk berkenaan Kedah.
“Seolah-olah Kedah ini ‘out’ dah. Teruk sangat dah. Negeri lain seperti di Johor, semua projek berjalan ‘under EOT’ (lanjutan tempoh masa), tak ada satupun siap ‘on time’. Diakan orang Johor.
“Pi la tengok negeri hang sama. Pasai apa rajin sangat mai sini (Kedah),” bidasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Jelas Sanusi lagi, tindakan untuk menamatkan kontrak kononnya bersabit kegagalan menyiapkan projek mengikut jadual tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Katanya, kontraktor yang ‘sangkut’ serta gagal menyiapkan projeknya dalam tempoh masa ditetapkan tidak salah untuk memohon EOT dan penilaian semula harga kerana perkara tersebut terkandung di dalam perjanjian.
“Yang menteri mai dok cakap lebih kurang, takkan dia tak baca syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian. Tapi saya ingat, di Kedah saja dia tak baca, di negeri lain dia baca.
“Sebab dia nak bina persepsi. Jadi menteri macam tu tak bagus, carilah (ganti) orang lain yang pandai sikit,” bidas beliau lagi.
Kerajaan Negeri katanya, akan menanggung risiko sekiranya tindakan menamatkan kontraktor sedia ada dengan menggantikan orang lain.
“Loji Rawatan Air (LRA) tak siap, ‘terminate’ tak ikut prosedur. Dia saman kita, dia dapat duit saman, kita pula kena bayar, LRA tak siap, duit lagi. Projek ni di bawah agensi kerajaan, di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Agensi kerajaan ni, pengalamannya panjang, sejak zaman British lagi. Selagi prosesnya berjalan mengikut undang-undang, jalan jelah,” tambahnya lagi.
Sanusi turut menjelaskan, projek naiktaraf LRA Lubuk Buntar dan Jenun Baru telah siap sepenuhnya, sementara LRA Pelubang akan siap dalam tempoh terdekat.
Sementara dua LRA lagi iaitu Sungai Limau dan Bukit Selambau masih di dalam pembinaan.
“LRA lima, siap tiga tapi tak sebut. Yang heran dok canang yang tak siap,” bidas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Menurutnya, penjelasan berkenaan sebab berlaku kelewatan didua LRA tersebut telahpun dilakukan berkali-kali, tetapi perkara yang sama juga diungkit serta disebut.
Beliau turut menjelaskan, kos untuk naik taraf lima LRA tersebut adalah RM931 juta, di mana empat darinya diberi oleh Kerajaan Persekutuan secara geran.
Manakala satu daripadanya iaitu LRA Pelubang jelas beliau, yang menelan kos sebanyak RM431juta diberi secara pinjaman.
“Untuk kawasan luar bandar, Kerajaan Persekutuan bagi geran, keputusan ini dibuat sejak 1993 lagi. Di Kedah ini, kita ada tiga sahaja kawasan kategori bandar iaitu Alor Setar, Kubang Pasu dan Kulim,” maklum beliau.
Selain itu ujarnya, LRA dibina di bawah kendalian JKR dan penguasanya adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, bukan Menteri Besar.
Malah beliau juga tidak terlibat dengan sebarang pemberian tender untuk projek berkenaan kerana ia dilakukan secara ‘tender terbuka’ dan diurus oleh jawatankuasa tender. – HARAKAHDAILY 14/5/2026











