PAN sanggup buang ahli demi pertahan ‘sekutu politik’?

‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ atau suruh ahli angkat kaki?’: PAN ditempelak

- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh menegaskan, kenyataan pimpinan PAN yang menyuruh ahli keluar jika tidak bersetuju menguatkan tanggapan bahawa parti itu hanya menjadi pak turut kepada DAP.

Menurutnya, keadaan itu dilihat berlaku ketika DAP secara terbuka mempertahankan dasar sekularisme yang memisahkan agama daripada pentadbiran negara, sedangkan Islam menuntut pemerintahan dipandu wahyu dan syariat Allah SWT.

- Advertisement -

“Antara bukti yang boleh dikaji dan mudah ditemui ialah kenyataan pimpinan DAP yang mempertahankan Malaysia sebagai negara sekular.

“(Termasuk) cadangan melibatkan bukan Islam dalam urusan penggubalan undang-undang Islam, serta penegasan bahawa undang-undang syariah perlu melalui ‘proses sekular’ di Parlimen,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin PAN yang menyatakan bahawa ahli PAN bebas untuk memilih parti mana hendak disertai.

“Ahli PAN bebas untuk memilih parti apa yang hendak disertainya selepas tidak bersetuju dengan PAN… negara ini negara demokrasi..rakyat bebas memilih… ’move on’!” kata pemimpin itu.

Walau bagaimanapun, Zulhilmi berkata, perkara itu memperlihatkan wujud pertembungan asas antara ideologi sekular DAP dengan prinsip pemerintahan Islam yang meletakkan agama sebagai panduan kehidupan dan pentadbiran.

“Inilah bahana apabila politik dipisahkan daripada agama, kononnya untuk mengelakkan ‘menunggang agama’. Hakikatnya, merekalah yang akhirnya ditunggang oleh DAP,” tempelaknya.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 118 yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang luar menjadi teman rapat yang tidak putus-putus berusaha mendatangkan mudarat kepada kamu.’

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan sebuah parti yang membawa slogan ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’ tetapi mudah menyuruh ahli keluar apabila tidak bersetuju sebagai sesuatu yang pelik dan mencerminkan kepimpinan yang semakin hilang arah.

Jelasnya, dalam mana-mana organisasi termasuk bidang pendidikan, tugas pemimpin adalah meyakinkan, mendidik dan memberi kefahaman kepada ahli, bukannya menyuruh mereka ‘angkat kaki’ apabila ditegur.

“Nampaknya, PAN hari ini lebih rela kehilangan ahli yang berprinsip daripada kehilangan ‘sekutu politik’ yang dominan.

“Apabila teguran akar umbi dianggap tidak bernilai, itulah saatnya ahli perlu sedar bahawa mereka sekadar dijadikan alat untuk mempertahankan kuasa.

“Jangan takut memilih kebenaran. Pimpinan sendiri sudah memberi ‘izin’, bukan?” tambah beliau.

Terdahulu, media tempatan turut melaporkan, DAP Melaka mencipta sejarah apabila berjaya menubuhkan cawangan pertama di Kampung Padang Temu Kini, DUN Telok Mas yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Pengerusinya, Khoo Poay Tiong, mendakwa, lebih 80 peratus ahli cawangan itu terdiri daripada orang Melayu selain turut disertai kaum Cina dan Portugis.

“Cawangan ini juga bersifat berbilang kaum dan agama yang membuktikan politik khidmat dengan tema demokratik, adil dan peduli yang dibawa DAP diterima baik oleh setiap lapisan masyarakat,” dakwanya. HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -