Judi haram di Pahang: Tindakan banteras perlu lebih tegas

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa digesa mengambil tindakan lebih keras termasuk mempertimbangkan pembatalan lesen serta rampasan premis bagi membanteras kegiatan judi tanpa lesen yang didakwa masih berleluasa di beberapa kawasan di negeri ini.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Dato’ Rosli Abdul Jabar berkata, aktiviti perjudian haram itu dikatakan beroperasi secara berterusan walaupun pelbagai aduan dan tindakan telah diambil sebelum ini.

Menurutnya, premis terbabit dipercayai beroperasi secara berselindung di sebalik perniagaan lain seperti kedai runcit dan kedai memancing sebelum kembali beroperasi selepas tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“Walaupun banyak laporan dibuat oleh rakyat dan pihak kami sendiri, tindakan penguatkuasaan hanya bersifat sementara. Selepas ditutup, mereka kembali beroperasi semula,” katanya ketika ditemui media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat, malah turut menjejaskan persepsi terhadap kecekapan pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan.

“Rakyat mula mempersoalkan apa sebenarnya tindakan pihak keselamatan. Ini memberi gambaran tidak baik terhadap sistem pentadbiran,” katanya.

Rosli yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, kegiatan perjudian tanpa lesen itu memberi kesan buruk kepada masyarakat tanpa mengira kaum serta boleh membawa kepada pelbagai masalah sosial.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya tindakan lebih keras dilaksanakan termasuk pemotongan bekalan elektrik, sitaan premis dan langkah tegas lain yang lebih berkesan.

“Jika tindakan sebelum ini tidak memberi kesan, maka pendekatan lebih keras perlu dipertimbangkan termasuk merampas dan membatalkan premis terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -