
PERTUBUHAN Lestari Khazanah Alam (LEKAS) memahami bahawa sistem sungai sememangnya dipengaruhi oleh pelbagai aktiviti antropogenik dan pengurusan lembangan sungai secara bersepadu memerlukan penilaian holistik terhadap keseluruhan ekosistem kawasan tadahan.
Namun begitu, LEKAS berpandangan bahawa perbincangan berkaitan isu Sungai Kereh perlu bergerak ke hadapan berasaskan bukti saintifik, tadbir urus alam sekitar dan kelestarian sungai jangka panjang, dan bukannya terus terperangkap dalam naratif defensif berulang atau wacana lapuk yang berisiko mengelirukan masyarakat mengenai skala serta tahap sebenar masalah pencemaran yang berlaku.
Sejak tahun 2020, LEKAS secara konsisten memerhatikan naratif yang hampir sama diulang bahawa isu pencemaran ini tidak sepatutnya dikaitkan secara utama dengan aktiviti penternakan babi.
Walaupun pelbagai faktor penyumbang sememangnya boleh wujud dalam mana-mana sistem sungai, persoalan yang lebih penting ialah magnitud relatif, beban pencemar serta impak alam sekitar jangka panjang daripada sumber pelepasan tertentu.
Dari semasa ke semasa, dapatan saintifik, pemerhatian bebas dan hasil siasatan penguatkuasaan semakin mengesahkan kebimbangan yang telah lama dibangkitkan oleh komuniti terjejas serta pihak berkepentingan alam sekitar mengenai sumbangan signifikan aliran pelepasan sisa ternakan terhadap kemerosotan Sungai Kereh.
Dalam masa yang sama, LEKAS turut mengiktiraf cabaran operasi yang dihadapi oleh agensi penguatkuasaan termasuk kekangan tenaga kerja dan logistik seperti yang dibangkitkan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, LEKAS menyokong usaha memperkukuhkan kapasiti institusi termasuk penambahan anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta sumber teknikal penguatkuasaan yang mencukupi jika diperlukan.
Walau bagaimanapun, LEKAS berpandangan bahawa penambahan tenaga kerja semata-mata tidak memadai tanpa penambahbaikan serentak terhadap kerangka regulatori dan penguatkuasaan itu sendiri.
Lebih penting, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan enakmen sedia ada, peraturan subsidiari dan syarat pematuhan teknikal dengan memasukkan parameter pencemaran yang lebih relevan secara saintifik seperti ammoniacal nitrogen (AN/NH3-N), di samping standard prestasi alam sekitar yang lebih jelas, kewajipan pemantauan serta mekanisme akauntabiliti pelepasan pencemar.
LEKAS berpandangan bahawa Pulau Pinang perlu meneliti dan menanda aras pendekatan tadbir urus sungai yang lebih kukuh seperti yang dilaksanakan di negeri lain, khususnya peranan yang dimainkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui kerangka regulatori sumber air dan kualiti sungai yang lebih menyeluruh.
Dalam jangka panjang, LEKAS turut berpandangan bahawa Pulau Pinang sendiri perlu mempertimbangkan untuk memperkukuh dan memodenkan enakmen serta kerangka regulatori berkaitan sumber air, pengurusan lembangan sungai dan tadbir urus kualiti air bagi menghadapi tekanan alam sekitar yang semakin kompleks akibat urbanisasi, perindustrian, pertanian dan aktiviti penternakan.
LEKAS percaya bahawa tadbir urus alam sekitar yang berkesan memerlukan bukan sahaja tenaga penguatkuasaan yang mencukupi, tetapi juga instrumen regulatori yang lebih kukuh, standard teknikal yang dikemas kini, sistem pemantauan yang telus serta mekanisme penguatkuasaan yang mampu menangani realiti semasa dan cabaran kelestarian lembangan sungai untuk jangka panjang.
ZIKRULLAH ISMAIL
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS Penang) – HARAKAHDAILY 13/5/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/179d31jm2j/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











