
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti-parti anggotanya supaya tidak membuat sebarang kritikan yang tidak wajar secara semberono terhadap mana-mana parti komponen lain sama ada melalui media mahupun saluran lain.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui saluran parti masing-masing sebelum dibawa, dibincangkan dan diputuskan secara musyawarah dalam PN.
“PN menerusi kepimpinannya kini akan menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu yang lebih besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
“Segala masalah dalaman parti pastinya akan diurus dan dikendalikan secara dalaman dengan lebih berkesan, bijaksana dan positif lagi,” ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu media tempatan melaporkan, seorang pimpinan BERSATU memberikan peringatan kepada semua pihak dalam Perikatan Nasional supaya tidak melupakan peranan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan partinya.
Ia berikutan kenyataan secara terbuka oleh seorang pimpinan Pemuda PAS yang mengkritik kemelut dalaman BERSATU dan mencadangkan parti itu keluar daripada PN.
Kenyataan itu dipercayai merujuk tindakan disiplin terhadap beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri BERSATU, termasuk pemecatan serta penggantungan beberapa pemimpin parti yang terus mencetuskan reaksi dalam kalangan pimpinan dan pemerhati politik. – HARAKAHDAILY 13/5/2026











