DUPP tegur Dr Nik Zawawi berkaitan fakta sejarah Islam

Komited perkemas dakwah berhikmah ikut disiplin ilmu Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat memaklumkan pihaknya sudah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato‘ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

- Advertisement -

“Dewan Ulamak PAS Pusat juga telah menyampaikan teguran serta peringatan (itu) agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam.

“Khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah SAW,” ujar Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan tular petikan ucapan Dr Nik Zawawi dalam satu ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman, Ali Abi Talib dan Hamzah sebelum memeluk Islam.

Nik Muhammad Zawawi dilaporkan menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.

Walau bagaimanapun, Mohd Nor Hamzah turut menzahirkan penghargaan terhadap teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.

Menurutnya, budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.

“Dewan Ulamak PAS Pusat komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” tambahnya.

Beliau memaklumkan, Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul susulan ceramah tersebut.

Jelasnya, selepas meneliti sedutan rakaman ceramah itu serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, Dewan Ulamak PAS Pusat mengakui terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah.

Fakta sejarah itu menurut beliau berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah SAW, khususnya Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.

“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2026

- Advertisement -