Bantu si manja melawan jangkitan RSV

- Advertisement -

JANGKITAN Respiratory Syncytial Virus (RSV) sering berlaku dalam kalangan anak-anak yang berusia kurang dari dua tahun. Virus ini boleh merebak melalui titisan yang dirembeskan semasa batuk dan bersin serta sentuhan pada permukaan tercemar. Gejala jangkitannya termasuk hidung berair, batuk, demam, bersin dan kurang selera makan.

Walau bagaimanapun jangkitan RSV kepada bayi pramatang atau anak-anak yang mempunyai masalah paru-paru dan sistem pertahanan yang rendah (immunosuppressed) boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan radang pada salur udara pernafasan (bronkiolitis).

Gejalanya lebih serius termasuk pernafasan anak menjadi lebih laju dan mungkin berbunyi kuat (wheezing), kesukaran bernafas, dada tertarik ke dalam sewaktu bernafas dan bibir menjadi kebiruan akibat kekurangan oksigen. Melihat anak kecil bertarung nyawa dalam keadaan begini sangat menyayat hati.

- Advertisement -

Rawatan jangkitan RSV kebanyakannya bersifat solongan. Bagi kes yang lebih serius bantuan oksigen dan cecair intravena mungkin diberikan. Bayi yang berisiko tinggi (pramatang atau mempunyai masalah jantung) berkemungkinan besar ditawarkan usaha pencegahan menggunakan antibodi seperti Palivizumab atau Nirsevimab. Namun antibodi ini mahal dan sangat terhad terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagaimanapun Allah telah memberikan solusi terbaik kepada masalah ini sejak sekian lama. Kajian telah menunjukkan bayi yang diberi susu ibu sejurus dilahirkan dan sebaik-baiknya sehingga usia 6 bulan tanpa makanan tambahan (penyusuan susu ibu secara eksklusif) mempunyai keupayaan lebih tinggi dalam melawan jangkitan RSV.

Kadar kemasukkan ke hospital juga lebih rendah selain daripada mereka memerlukan tempoh rawatan di hospital yang lebih pendek berbanding bayi yang diberikan susu formula. Ini kerana susu ibu boleh meningkatkan immuniti semula jadi (innate immunity) yang merupakan benteng terawal badan terhadap jangkitan seperti virus, bakteria dan kulat.

Mengambil kira kepentingan susu ibu, terdapat beberapa kajian yang sedang dijalankan bagi mengenalpasti komponen-komponen didalam susu ibu yang boleh melawan jangkitan virus seperti RSV dan Influenza.

Biarpun kejayaan kajian ini akan menjadikan susu formula yang dibekalkan dengan komponen susu ibu boleh dijadikan alternatif bagi bayi-bayi yang tidak ditawarkan susu ibu secara alami, namun penyusuan secara eksklusif adalah anugerah terbaik bagi si manja.

Susu ibu yang penuh dengan antibodi, nutrien lengkap dan faktor bioaktif (termasuk lactoferrin dan lysozyme) adalah makanan lengkap yang boleh beradaptasi dengan keperluan bayi dan merangsang perkembangan otak.

Menyedari kepentingan ini, ibu-ibu perlu diberi sokongan penuh oleh keluarga, masyarakat dan pemerintah bagi memenuhi keperluan si manja yang bakal  menjadi pimpinan negara di masa hadapan.

DR HANI’AH ABDULLAH
Alderley Park – HARAKAHDAILY 12/5/2026

Rujukan:

1. Mineva GM, et al. (2023). Impact of breastfeeding on the incidence and severity of respiratory syncytial virus (RSV)-associated acute lower respiratory infections in infants: a systematic review highlighting the global relevance of primary prevention – BMJ Global Health

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -