‘Parental burnout’ gugat institusi kekeluargaan

- Advertisement -

FENOMENA burnout’ dalam kalangan ibu bapa kini dilihat semakin membimbangkan apabila tekanan ekonomi, beban pekerjaan dan cabaran membesarkan anak memberi kesan langsung kepada kestabilan institusi keluarga.

- Advertisement -

Kerajaan negeri ditadbir PAS melihat isu itu bukan lagi masalah individu semata-mata, sebaliknya cabaran sosial yang memberi implikasi besar terhadap pembangunan masyarakat.

Tekanan kos sara hidup, beban kerja berlebihan serta cabaran mendidik anak dalam era digital dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada keletihan mental, emosi dan fizikal ibu bapa.

Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita dan Masyarakat Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki berkata, golongan B40 paling terkesan apabila terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan dua pekerjaan bagi menampung keperluan keluarga.

“Ramai rakyat marhaen pagi bekerja di pejabat, malam pula terlibat dalam ekonomi gig seperti penghantaran makanan atau kerja tambahan lain. Akibatnya mereka kekurangan rehat dan pulang ke rumah dalam keadaan keletihan.

“Dalam masa sama, mereka perlu mengurus pendidikan anak, ibadah, pembentukan sahsiah serta berdepan cabaran penggunaan gajet dan media sosial dalam kalangan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, tekanan berpanjangan itu jika tidak ditangani boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan serta perkembangan anak-anak.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan maklumnya, melaksanakan pendekatan berasaskan Dasar Keluarga Mawaddah dengan menumpukan kepada pengukuhan institusi keluarga melalui sistem sokongan komuniti.

“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk penubuhan Mawaddah Support Team di setiap Parlimen, kursus keibubapaan meliputi pengurusan emosi, komunikasi remaja dan kewangan keluarga, serta penyediaan Buku Panduan Keluarga Mawaddah secara dalam talian.

“Selain itu, sokongan psikososial dan psiko spiritual turut diperkukuh melalui program keibubapaan di setiap DUN, kursus kepada pasangan muda serta kerjasama dengan pusat kesihatan.

“Masjid mukim juga diperluas peranannya sebagai pusat sokongan keluarga, manakala Mawaddah Centre merekodkan 125 kes kekeluargaan dirujuk sepanjang tahun lalu,” beritahu nya.

Menurutnya lagi, bagi memperkasa ekonomi wanita, sebanyak 45 Pusat Pembangunan Wanita Kelantan menyediakan latihan kemahiran termasuk jahitan, kulinari dan kraftangan.

Kerajaan negeri juga katanya, turut menubuhkan Skuad Kita Cakna sebagai pasukan sokongan sosial yang memberi fokus kepada bantuan kebajikan dan kaunseling keluarga.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Zuraida Mohd Noor dalam pada itu berkata, fenomena ‘parental burnout‘ kini menjadi cabaran utama khususnya dalam kalangan ibu bapa muda.

Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup, konflik kerjaya dan keluarga serta kekurangan sokongan sosial dikenal pasti sebagai punca utama.

“Keadaan ini menyebabkan ibu bapa mengalami keletihan emosi berpanjangan apabila tuntutan keluarga melebihi kemampuan kewangan dan kestabilan mental,” katanya.

Kerajaan negeri Terengganu ujarnya, melalui pelbagai agensi menyediakan bantuan kewangan, program keibubapaan serta latihan keusahawanan bagi membantu keluarga menangani tekanan tersebut.

Melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu pula maklum beliau, program pengukuhan institusi keluarga turut dilaksanakan bagi meningkatkan komunikasi dan keseimbangan emosi suami isteri.

Kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa penyelesaian isu ‘burnout’ ibu bapa perlu dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan aspek ekonomi, sosial dan spiritual.

“Institusi keluarga tidak boleh diperkukuh melalui bantuan material semata-mata, tetapi perlu digabungkan dengan kekuatan rohani, sokongan komuniti dan dasar kerajaan yang adil,” ujar mereka.

Pendekatan tersebut dilihat penting bagi memastikan kesejahteraan keluarga terus terpelihara serta membentuk masyarakat yang stabil dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 6/5/2026

- Advertisement -