Kerajaan minoriti Negeri Sembilan: Sah atau tidak?

- Advertisement -

RAMAI yang bertanya adakah kerajaan Negeri Sembilan sekarang benar-benar kerajaan minoriti yang sah atau tidak.

Dalam perlembagaan negeri, jelas menyebut bahawa jika seseorang Menteri Besar (MB) hilang sokongan majoriti, maka hanya ada dua tindakan yang perlu dilakukan, iaitu sama ada meletakkan jawatan, atau meminta kepada Yang di-Pertuan Besar (YDPB) untuk membubarkan DUN.

Kedua-duanya tidak berlaku. Sebaliknya MB kekal dan memerintah dengan kerajaan minoriti. Bolehkah demikian?

- Advertisement -

Dua situasi

Kerajaan minoriti ialah kerajaan yang diterajui oleh seorang ketua kerajaan yang tidak mencapai jumlah sokongan majoriti mudah iaitu satu perdua dari keseluruhan anggota Dewan Rakyat atau ADUN. Kerajaan minoriti adalah kerajaan yang sah dan memiliki keabsahan untuk mentadbir, walaupun mungkin untuk sementara sahaja.

Pada dasarnya wujud dua situasi yang menjadi asas kepada sesebuah kerajaan minoriti, iaitu pertamanya apabila berlaku Parlimen tergantung, dan seorang pemimpin yang mempunyai gabungan kerusi terbesar dalam Dewan Rakyat atau DUN, atau mana-mana anggota Dewan Rakyat yang lain, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, walaupun tidak mencapai kepercayaan majoriti mudah dalam Dewan Rakyat.

Rundingan

Dalam situasi ini, Perdana Menteri minoriti itu perlu membuat rundingan dengan parti-parti lain atau anggota Dewan Rakyat bagi mendapatkan sokongan sehingga mendapat kepercayaan majoriti sebelum sidang Dewan Rakyat bagi mengelakkan kerajaannya jatuh akibat undi tidak percaya.

Sokongan boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu:

a. Parti yang menyokong bersedia menyertai kerajaan dan pemimpinnya dilantik dalam jemaah Menteri atau jawatan kerajaan lain. Bila berlaku demikian, kerajaan minoriti itu bertukar menjadi kerajaan dengan kepercayaan majoriti.

b. Parti yang menyokong tidak menyertai kerajaan tetapi sebaliknya hanya bersedia untuk menyokong Perdana Menteri dalam Parlimen jika dalam usul undi percaya, belanjawan dan usul-usul lain yang boleh mengukur tahap kepercayaannya di kalangan wakil rakyat.

Persetujuan untuk menyokong kerajaan melalui undi di Dewan Rakyat itu boleh disertakan dengan syarat-syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak bagi kepentingan bersama.

Kerjasama ini biasanya diikat dengan satu perjanjian khusus yang disebut ‘perjanjian kepercayaan dan perbekalan’ atau CSA iaitu ‘confidence and supply agreement.

Dalam keadaan begini, kerajaan tersebut kekal sebagai sebuah kerajaan minoriti, tetapi dapat bertahan melalui pergantungan kepada pihak lain. Kebiasaannya kerajaan minoriti begini tidak mampu bertahan lama dan bersifat sementara.

Tempoh peralihan

Selain itu, kerajaan minoriti juga boleh wujud dalam tempoh peralihan kuasa sementara penubuhan sebuah kerajaan baharu atas kehendak atau restu Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja atau Yang Di-Pertua Negeri.

Peralihan kuasa ini mungkin berlaku kerana banyak faktor, antaranya kerana perpecahan dalam parti pemerintah, ketua kerajaan tidak lagi diiktiraf oleh partinya atau faktor-faktor lain.

Kerajaan minoriti ini yang bersifat caretaker, mempunyai kuasa yang terhad dan hanya berfungsi untuk memastikan urusan pentadbiran kerajaan tidak terjejas. Kebiasaannya kerajaan minoriti bagi tujuan ini dapat melaksanakan peranannya sewaktu tidak ada persidangan Parlimen atau DUN.

Langkah Kajang

Apabila (Allahyarham) Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dari partinya PKR pada tahun 2014, dia dianggap telah hilang kepercayaan majoriti dan perlu melepaskan jawatan.
Namun, atas restu Sultan Selangor, beliau terus mentadbir bersama-sama empat exco kerajaan negeri dari PAS sebagai sebuah kerajaan minoriti selama 43 hari dengan sokongan dari 13 ADUN dari PAS.

Pengalaman Kelantan

Pentadbiran Dato’ Mohamad Nasir di Kelantan bermula pada dia dipecat dari menjadi ahli PAS, berkuat kuasa mulai pada 10 Oktober 1977 sehingga penubuhan Majlis Gerakan Negara yang mengambil alih pentadbiran negeri pada awal November 1977 juga termasuk dalam kategori kerajaan minoriti.

Dalam peristiwa konflik di Kelantan ini, sepatutnya kerajaan minoriti berkenaan diganti dengan satu kerajaan majoriti dengan pelantikan seorang Menteri Besar yang baharu, namun atas faktor campur tangan kerajaan Persekutuan yang memanfaatkan kuasa darurat, penyelesaian demokratik itu tidak berlaku.

Situasi terhad

Ringkasnya, kerajaan minoriti boleh wujud dalam situasi seseorang Perdana Menteri atau Menteri Besar hilang sokongan, namun ia tertakluk kepada situasi yang terhad iaitu:

(1) hanya dalam keadaan yang sangat perlu sahaja – konflik YDPB dan Undang Berempat adalah satu asas yang wajar;

(2) dengan titah dan kehendak ketua negara (YDPA) atau negeri (Sultan, atau YDPB);

(3) hanya sebagai mekanisme sementara bagi menyelesaikan urusan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan majoriti.

Dalam posting akan datang, saya akan kongsikan kisah ‘Langkah Kajang’ dan pengalaman kerajaan minoriti di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor.

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – HARAKAHDAILY 4/5/2026

catatan di atas dipetik dan diolah daripada buku Penubuhan Kerajaan di Malaysia: Konflik dan Penyelesaian (oleh Muhammad Fathi Yusof) yang diterbitkan oleh Penerbit UTM Press.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -