Mangsa kebakaran rayu bantuan bina rumah

- Advertisement -

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan menyeru mangsa kebakaran untuk sentiasa bersabar atas musibah yang menimpa mereka.

- Advertisement -

“Jangan salahkan takdir apa yang berlaku, kena banyakkan bersabar. Disebabkan kesabaran itulah kita memperolehi pahala yang besar di sisi Allah,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyantuni mangsa kebakaran bersama dengan beberapa NGO sekitar Sandakan, di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Kampung Air, dekat sini, hari ini. (Foto atas)

PPS itu menempatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung PPH Karamunting.

Hadir sama ialah Pengarah Khidmat Malaysia Sabah, Sahar Abdul Majid, Pengarah Operasi Sabah Relief, Tarmizi Yahya, Ketua Pemuda dan Muslimat PAS negeri, Hendri Hamsah dan Norsah Bongsu.

Beliau juga turut menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Bahagia dan guru serta pelajar PASTI yang terlibat dalam kebakaran itu.

Sementara itu, mangsa kebakaran di Kampung PPH Karamunting dan Kampung Bahagia merayu agar dapat dipercepatkan proses bantuan pembinaan rumah bagi meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Jalali Salleh, 67, berkata, bantuan pembinaan rumah bagi mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Bahagia perlu disegerakan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Dr. Aliakbar Gulasan atas keprihatinan serta usaha membantu kami di sini,” katanya.

Seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad mengharapkan wakil rakyat tampil membantu membela nasib mangsa kebakaran di Kampung Karamunting.

“Sekarang ini kami cuma mahu mengharapkan mana-mana YB yang boleh bantu kami, membela nasib kami di sini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/5/2026

- Advertisement -