Mampu Kerajaan DAP jernih kembali air Sg Kereh?

Dicemari buangan sisa kumbahan najis babi

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa agar segera bertindak menangani isu pencemaran Sungai Kereh yang menimbulkan ketidakselesaan khususnya penduduk setempat.

Penduduk mendesak agar isu pencemaran najis kumbahan babi di sungai berkenaan yang telah berlarutan lebih 40 tahun, diambil perhatian serius kerana ia menjadi semakin kronik.

Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, walaupun perkara itu dibangkitkan oleh banyak pihak sama ada penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain, namun tiada sebarang tindakan tuntas diambil.

Menurutnya, bau busuk akibat pencemaran sungai tersebut menjadi semakin ketara apabila pokok-pokok sekitarnya ditebang dan kawasan tersebut dijadikan taman perumahan baharu.

“Pokok-pokok tersebut menjadi zon penebat bau, tetapi sekarang apabila itu sudah ditebang dan dijadikan kawasan perumahan, bau busuk yang berpunca dari pencemaran sungai, menjadi amat ketara,” jelas beliau.

Mengulas lanjut katanya, najis babi yang dibuang ke Parit Cina di Kampung Selamat, mengalir ke saliran melintasi kawasan perumahan dan kemudiannya ke Sungai Kereh.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu memberitahu, kesan pencemaran itu bukan sahaja kepada penempatan berhampiran tetapi juga sekitar Tasik Gelugor.

Keadaan tersebut ujarnya, menjadi lebih kronik kerana Sungai Kereh merupakan salah satu daripada tiga sungai limbungan yang mengalir ke Sungai Perai.

Wujud peraturan tetapi masalah tak selesai

Menurutnya lagi, pada 2016, Kerajaan Negeri telah membentangkan Enekmen Penternakan Babi dan memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengawasi penternakan babi.

Namun jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua itu, masalah tersebut masih juga tiada berkesudahan kerana kebanyakan penternak tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Sebahagiannya jelas beliau, masih meneruskan sikap tidak bertanggungjawab, malah ada yang melakukannya pada waktu malam dan ketika hari hujan.

“Jabatan Veterinar ketika itu telah mengeluarkan lesen dan membenarkan 60 kandang babi untuk beroperasi, berserta syarat yang perlu dipatuhi para penternak.

“Tetapi apa yang boleh dilihat hari ini, walaupun sudah ada peraturan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi, pencemaran najis babi ini masih berlaku hingga sekarang,” tambahnya lagi

Air Sungai Kereh tidak boleh dimanfaat

Dalam masa sama, rakyat menanggung kerugian terutama penduduk yang tinggal sekitar Sungai Kereh dan Sungai Perai kerana kebanyakan mereka adalah petani, penternak, pesawah dan juga nelayan darat.

“Apabila sungai terjejas, dari sumber mana lagi untuk mereka ambil untuk pengairan tanaman, minuman binatang ternakan termasuk  sumber rezeki hasil tangkapan sungai?” soal beliau.

Selain itu, pencemaran itu tegasnya, tidak hanya memberi kesan dan Sungai Perai itu, tetapi juga turut menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) di Air Itam Dalam dan Sungai Dua.

LRA tersebut jelasnya, dibina untuk menapis air Sungai Perai, namun tidak dapat berfungsi kerana pencemaran yang tinggi, di samping boleh mengundang kepada penularan bakteria ‘Escherichia coli’ atau E.coli.

“Rugilah rakyat Pulau Pinang, ada sumber air tapi tidak boleh digunakan. Sepatutnya survival air ini boleh digunakan bukan sahaja untuk minuman tetapi juga penternakan serta pertanian,” katanya

Tuntut tindakan lebih tegas

Justeru tegasnya, penguatkuasaan terhadap isu ini perlu dilakukan dengan lebih tegas dan pengusaha yang gagal mematuhi peraturan, perlu diambil tindakan dan kandang babinya disita.

Beliau yang turut terlibat pada sesi libat urus dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, H’ng Mooi Lye baru-baru ini, mengharapkan cadangan serta keputusan telah diambil berkaitan isu ini, dapat dilaksanakan sebaiknya.

Beliau juga mengharapkan, janganlah libat urus itu hanya diadakan bersebab DUN Pulau Pinang akan bersidang pada 8 Mei depan, sebaliknya segala keputusan serta perancangan dibincangkan, diambil tindakan serius agar ditangani segera oleh Kerajaan Negeri.

Jelas Ustaz Fauzi lagi, pada sesi libat urus berkenaan, beberapa cadangan telah dibincangkan antaranya, mewujudkan pelan kontigensi untuk jangka masa terdekat dengan menggunakan lori tangki membawa najis babi berkenaan ke loji di Ampang Jajar.

Selain katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, beberapa usaha lagi untuk mengelak najis babi itu agar tidak lagi dilepaskan ke sungai.

“Apapun, yang penting, kita dan penduduk menuntut supaya tidak berlaku lagi pelepasan najis babi ini ke sungai. Sekiranya isu ini dapat diselesaikan, bukan sahaja memberi manfaat kepada petani, penternak dan nelayan darat.

“Malah Pihak Berkuasa Air (PBA) boleh memproses air sungai ini untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang,” tegas beliau kepada Kerajaan Negeri diterajui DAP itu.

Jejas sektor pelancongan kampung

Pencemaran itu juga katanya, telah menjejaskan sektor pelancongan kampung yang berpangkalan di Pengkalan Machang dan Lebuh Banting.

“Pengusaha pelancongan ini menyediakan bot untuk membawa pelancong menyusuri Sungai Perai. Kalau dah sungai tercemar dan bau busuk, tentulah aktiviti ini tak dapat dijalankan lagi, rakyat juga yang rugi,” katanya lagi.

Pada Januari lalu, ratusan penduduk di beberapa taman dan kampung sekitar Tasek Gelugor, telah mengadakan himpunan aman bagi membantah perkara itu.

Mereka menuntut agar isu bau busuk dan pencemaran najis babi di Sungai Kereh ditangani segera kerana ia mengundang ketidakselesaan hidup.

Malah, keadaan itu juga menjejaskan sebahagian penduduk sekitar yang menjadikan sungai tersebut nadi ekonomi mereka. – HARAKAHDAILY 2/5/2026

- Advertisement -

- Advertisement -