
KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius cadangan pemotongan lebih RM3 bilion terhadap peruntukan Kementerian Kesihatan seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Pengerusinya, Dr Zulkifli Mohamad berkata, cadangan itu hadir ketika hospital dan klinik kerajaan masih berdepan pelbagai tekanan termasuk kesesakan pesakit, kekurangan petugas kesihatan serta penghijrahan doktor.
Menurut beliau, situasi tersebut turut diburukkan dengan keperluan mendesak untuk menaik taraf fasiliti dan peralatan perubatan di seluruh negara.
“Dalam keadaan sistem kesihatan awam sedang bergelut memenuhi keperluan rakyat, langkah mengurangkan bajet kesihatan adalah keputusan yang tidak selari dengan realiti di lapangan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesihatan rakyat tidak sepatutnya dijadikan ruang untuk kerajaan berjimat.
“Jika kerajaan benar-benar komited menjaga kebajikan rakyat, maka penjimatan mesti bermula dengan membanteras ketirisan, memperbaiki kecekapan perbelanjaan dan menyusun semula keutamaan fiskal,” jelasnya.
Tambah Dr Zulkifli, pengurangan peruntukan terhadap sektor yang menyentuh nyawa manusia bukanlah pendekatan wajar.
Sehubungan itu beliau mendesak kerajaan supaya menilai semula cadangan pemotongan bajet kesihatan serta memberikan penjelasan secara telus berhubung komponen yang terlibat dalam rasionalisasi tersebut.
“Kerajaan juga perlu menjamin tiada kemerosotan terhadap akses dan mutu perkhidmatan kesihatan awam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat bukan sekadar mahukan jaminan umum, sebaliknya menuntut dasar yang benar-benar melindungi hak mereka untuk mendapatkan rawatan berkualiti, cepat dan bermaruah.
“Menjaga kesihatan rakyat bukan beban fiskal, ia adalah tanggungjawab asas sebuah kerajaan,” katanya.
Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Pengurangan perbelanjaan untuk sektor kesihatan dan pendidikan tinggi berkenaan adalah sebahagian cadangan MOF untuk penjimatan perbelanjaan mengurus (OE) bagi 2026 kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM10 bilion.
Langkah tersebut mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak memandangkan sektor kesihatan awam ketika ini masih memerlukan peruntukan besar bagi menampung kos operasi, pembayaran emolumen petugas serta penyelenggaraan dan peningkatan fasiliti.
Sebarang pengurangan ketara dalam bajet kesihatan berpotensi memberi kesan langsung kepada keupayaan hospital dan klinik kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap dan menyeluruh kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 2/5/2026











