Langkawi: Kedaulatan, hak negeri dipertahan MB Sanusi

- Advertisement -

LANGKAWI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dituduh bersifat ‘retorik emosi’ tidak lebih hanya cubaan lawan politik untuk mengalih perhatian daripada isu pokok, iaitu kedaulatan wilayah dan hak perlembagaan negeri Kedah.

Ahli Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Raya Pelancongan (MPLBP), Muhammad Alif Bakar berkata, ungkapan ‘langkah mayat’ yang disebut Menteri Besar adalah manifestasi ketegasan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak rakyat Kedah.

“(Iaitu) daripada sebarang cubaan campur tangan yang membelakangkan semangat federalisme. Di bawah kepimpinan Dato’ Seri Sanusi, Langkawi membuktikan kestabilan geopolitik luar biasa, sehingga berjaya menarik minat gergasi industri hartanah dan hospitaliti dunia.

“Kehadiran pelabur utama ini adalah bukti bahawa polisi Kerajaan Negeri yang mesra pelabur serta berwawasan tinggi,” katanya membidas tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

ADUN daripada DAP itu mendakwa kononnya kenyataan Muhammad Sanusi berhubung isu Langkawi mencerminkan pendekatan politik lama yang lebih cenderung bermain sentimen berbanding penyelesaian.

Swee Leong itu juga berkata, ungkapan ‘langkah mayat kami dulu’ diucap Menteri Besar tidak menyelesaikan masalah ekonomi dan pelancongan Langkawi.

Dia menyatakan rakyat memerlukan pelan tindakan, bukan retorik emosi seperti diungkap Sanusi yang didakwa hanya mengalih perhatian daripada kelemahan tadbir urus Kerajaan Negeri.

Bidas Alif lagi, dakwaan Swee Leong kononnya sentimen ‘hak negeri’ cuba dimainkan kerajaan negeri semata-mata perisai menutup kegagalan menyediakan hala tuju pembangunan lebih kompetitif, jelas tidak berpijak di bumi yang nyata.

Langkawi kini jelasnya mempunyai projek-projek berimpak tinggi seperti Tropicana Corporation Berhad dan Tropicana Cenang di mana projeknya merangkumi kediaman, servis dan hotel bertaraf bintang yang merupakan bangunan penginapan tertinggi di negeri ini.

Selain itu katanya, Langkawi juga mempunyai penginapan mewah bertaraf antarabangsa berjenama global seperti Hilton (The Waldorf Astoria) dan Mandarin Oriental (Pantai Tanjung Rhu).

“Ini membuktikan Langkawi kini setaraf dengan destinasi elit dunia.
Malah pelaburan daripada pemaju besar IOI Properties Group juga sedang merancang untuk membina sebuah hotel mewah di bawah jenama W iaitu milik rangkaian Marriott International di Pantai Kok,” jelasnya lagi.

Kehadiran pemaju bagi membina projek-projek mencakar langit itu tegasnya, tidak akan berlaku jika Langkawi tidak mempunyai kestabilan politik dan hala tuju pembangunan yang jelas.

Malah beliau turut menegaskan, Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Raya Pelancongan juga telah melakar rekod cemerlang yang membuktikan tadbir urus majlis berkenaan baik dan progresif.

Antaranya maklum beliau, Anugerah Pengiktirafan Berlian (Diamond) Bandar Rendah Karbon pada 2024, termasuk pengiktirafan sebagai Smart City Early Adopter 2024.

Kata Muhammad Arif, pengiktirafan tersebut menunjukkan Langkawi sedang ditransformasikan secara digital untuk kemudahan pelancong dan pelabur.

ADUN DAP itu juga bidasnya mungkin terlupa, Langkawi turut diiktiraf sebagai destinasi terbaik Asia dan kekal sebagai permata dunia apabila dinobatkan sebagai Pulau Kedua Tercantik di Asia.

Pengiktirafan oleh Conde Nast Traveler Readers’ Choice Awards pada 2025 itu tambah Alif, menewaskan Bali, Indonesia dan Phuket, Thailand dengan skor yang sangat tinggi iaitu 92.99.

“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi mestilah berasaskan rasa hormat terhadap bidang kuasa negeri.

“Pembangunan mega daripada sektor swasta sudah ada, Kerajaan Persekutuan sewajarnya membantu menaiktaraf infrastruktur asas seperti bekalan air dan jeti secara lebih agresif tanpa tekanan politik,” katanya lagi.

Justeru ujarnya, kemasukan pelabur besar dan pengiktirafan antarabangsa adalah bukti nyata bahawa Langkawi tidak memerlukan ‘transformasi berani’ bersifat kosmetik, sebaliknya sudahpun berada di landasan transformasi yang substantif dan berdaulat.

“Kami ahli-ahli Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Raya Pelancongan tetap berdiri teguh di belakang Menteri Besar. Langkawi tetap milik Kedah,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2026

- Advertisement -

- Advertisement -