
SANDAKAN: Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah memandang serius isu setinggan yang terus menjadi antara cabaran sosial utama di negeri ini.
Ketuanya, Ustaz Azman Jupri berkata, perbahasan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, pada persidangan DUN Sabah, kelmarin berkaitan keperluan menangani isu tersebut secara lebih menyeluruh wajar diberi perhatian semua pihak.
“Masalah setinggan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu pelanggaran undang-undang atau penguatkuasaan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambahnya, realiti di lapangan menunjukkan kewujudan penempatan setinggan banyak berpunca daripada tekanan hidup seperti kemiskinan dan peningkatan kos sara hidup.
“Faktor harga rumah yang semakin tinggi serta keterbatasan peluang pemilikan kediaman bagi golongan berpendapatan rendah turut menyumbang kepada masalah tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Islam menekankan prinsip keadilan sosial serta keperluan menjaga kebajikan masyarakat khususnya golongan lemah.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Az-Zariyat ayat 19 yang menegaskan bahawa pada harta orang berkemampuan terdapat hak untuk golongan miskin.
Sehubungan itu, katanya, penyelesaian terhadap isu setinggan perlu dilaksanakan secara berperikemanusiaan, berhikmah dan strategik dengan mengambil kira aspek kebajikan serta kestabilan sosial.
Tambah beliau, pihak kerajaan digesa memperluaskan program perumahan mampu milik, menyediakan pelan penempatan semula yang terancang, serta memperkasakan usaha pembasmian kemiskinan dan peluang pekerjaan.
“Pendekatan seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dan tanggungjawab kemanusiaan mampu memelihara keharmonian masyarakat serta kestabilan negeri Sabah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/4/2026











