
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu kekal komited meneruskan persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 meskipun temasya itu diputuskan berlangsung dalam skala lebih kecil.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persiapan kontinjen negeri itu telah dilakukan lebih awal berdasarkan penganjuran asal dan tidak terjejas dengan perubahan format berkenaan.
Menurut beliau, Terengganu tetap bersedia menghadapi sebarang keputusan berhubung acara yang akan dipertandingkan dalam temasya tersebut.
“Memang kita sebenarnya dari awal bersedia untuk berdepan dengan SUKMA dalam skala asal, jadi persiapan kita dibuat berdasarkan perancangan itu.
“Walaupun skopnya dikecilkan dan mungkin ada sukan tertentu yang tidak disenaraikan, kita tetap menyahut cabaran dan bersedia dengan apa juga jenis sukan yang akan dipertandingkan.
“Insya-Allah kita akan membawa cabaran terbaik untuk SUKMA edisi kali ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan penganjuran SUKMA 2026 akan diteruskan secara berhemat setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ahmad Samsuri berkata, penganjuran SUKMA penting berikutan kejohanan itu menjadi medan untuk menilai kemampuan atlet sebelum diketengahkan ke pentas antarabangsa.
Katanya, acara sukan yang mempunyai kepentingan untuk persiapan ke temasya seperti Sukan SEA perlu diteruskan bagi memastikan negara tidak ketandusan atlet berkelayakan.
“Saya percaya kementerian bersama kerajaan negeri akan menentukan sukan yang mempunyai keperluan untuk berdepan di peringkat antarabangsa supaya persiapan atlet negara dapat diteruskan,” katanya.
Mengulas persiapan Terengganu, beliau berkata, tiada sebarang perubahan dilakukan kerana perancangan sudah dimulakan sejurus tamat SUKMA edisi lalu.
“Bagi pihak negeri, tidak ada apa-apa perubahan kerana kita sudah bergerak dari awal lagi selepas SUKMA lalu selesai.
“Kita terus merancang dari segi bapa angkat jabatan angkat dan jurulatih-jurulatih serta bentuk latihan. Jadi tidak tidak ada apa-apa kesan daripada kita. Kita akan terus sajalah dengan apa yang kita rancangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











