
KOTA KINABALU: Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa pembangunan sebenar tidak boleh dinilai hanya melalui pembinaan fizikal atau keindahan bandar semata-mata, sebaliknya mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai itu berkata, pembangunan yang hakiki adalah apabila rakyat merasai kehidupan yang lebih baik melalui kemudahan asas yang mencukupi, peluang ekonomi yang adil serta jaminan masa depan yang lebih terpelihara.
“Sesebuah kerajaan tidak diukur pada besarnya angka perbelanjaan, tetapi sejauh mana hasil tersebut sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya dalam ucapan perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17, di sini semalam.
Menurutnya, antara indikator utama kejayaan pembangunan termasuk penyediaan jalan raya yang baik, bekalan air yang stabil, elektrik yang sempurna, sistem pendidikan yang menyeluruh serta akses kesihatan yang mudah dicapai oleh rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan yang tidak adil merupakan satu bentuk kezaliman yang tidak bersuara, namun memberi kesan mendalam kepada kehidupan rakyat.
“Di bandar lampu tidak pernah padam, tetapi di desa masih ada yang bergelap. Di kota air mengalir tanpa henti, namun di pedalaman masih ada yang menadah air hujan.
“Realiti ini tidak boleh disembunyikan dengan angka dan laporan,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan bukan sekadar pentadbir, tetapi pemegang amanah rakyat yang bertanggungjawab memastikan keadilan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Keadilan bukan bermaksud semua mendapat jumlah yang sama, tetapi setiap rakyat mendapat apa yang mereka perlukan,” jelasnya.
Dr Aliakbar turut mempersoalkan asas kemajuan yang sering dilaungkan sekiranya keperluan asas rakyat masih belum diselesaikan, khususnya bagi masyarakat di pedalaman, pesisir dan kawasan terpencil.
“Golongan ini bukan angka kecil dalam statistik, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut memetik pandangan tokoh ilmuwan Islam, Almarhum Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) yang menegaskan bahawa keadilan bukan sekadar terletak pada hukum, tetapi juga pada rasa tanggungjawab terhadap penderitaan rakyat. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











