
KUALA TERENGGANU: Seramai 120 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Program TDM Bersama Masyarakat DUN Ladang di Dewan Sivik Pasir Panjang, di sini.
Program anjuran TDM Berhad itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, program berkenaan bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah mencerminkan komitmen syarikat dalam membina hubungan lebih erat dengan masyarakat setempat.
Menurutnya, kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui prestasi perniagaan, sebaliknya turut dinilai berdasarkan sumbangan terhadap kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti secara mampan.
“TDM akan terus memperluas pelaksanaan program berimpak tinggi yang selari dengan agenda kelestarian syarikat, termasuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak berkepentingan serta komuniti setempat.
“Melalui inisiatif sebegini, TDM berhasrat untuk terus menyemai nilai kebersamaan, memperkukuh semangat perpaduan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Turut hadir, Penolong Setiausaha (Pungutan dan Pentadbiran Zakat) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Wan Muhamad Khairullah Suhaimi Wan Azli, Pegawai Khas TDM, Abd Wahab Arifin, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Komuniti DUN Ladang, Halimi Abdullah serta barisan pengurusan syarikat.
Dalam ucapannya, Zuraida merakamkan penghargaan kepada TDM atas komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan inisiatif CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Usaha seperti ini amat signifikan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Saya percaya penglibatan aktif sektor korporat seperti TDM bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah turut memperkukuh jaringan sokongan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Program berkenaan turut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya matlamat pertama iaitu membasmi kemiskinan melalui usaha meningkatkan kesejahteraan ekonomi isi rumah dan memastikan akses kepada keperluan asas. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











