Dr Aliakbar gesa hak 40 peratus Sabah direalisasi

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri Sabah merupakan amanah Perlembagaan yang tidak boleh terus ditangguhkan.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh lari daripada memperjuangkan hak negeri Sabah yang telah lama dibincangkan, khususnya berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D.

“Tuntutan ini bukan lagi sekadar wacana politik, tetapi hak yang sewajarnya dikembalikan kepada rakyat Sabah.

“Jika hasil negeri terus mengalir keluar tanpa pulangan adil, jurang pembangunan akan terus melebar,” katanya dalam ucapan perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17, di sini semalam.

Menurut beliau, keadaan Sabah yang kaya dengan sumber tetapi masih berdepan kekurangan kemudahan asas membuktikan keperluan mendesak untuk mengembalikan hasil negeri bagi dimanfaatkan sepenuhnya kepada rakyat.

“Isu ini memerlukan kesungguhan politik dan keberanian pentadbiran. Tanpa itu, sukar untuk melihat pembangunan Sabah yang lebih tersusun dan menyeluruh,”ujarnya.

Dr Aliakbar turut mengingatkan bahawa perkembangan geopolitik antarabangsa tidak boleh dipandang ringan, khususnya ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang memberi kesan kepada ekonomi global.

Menurutnya, konflik tersebut memberi implikasi langsung terhadap harga minyak, kos import, keselamatan perdagangan serta kestabilan rantaian bekalan yang akhirnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

“Sabah yang banyak bergantung kepada import bahan makanan dan barangan asas perlu mempunyai pelan kesiapsiagaan ekonomi.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada keadaan luar tanpa membina kekuatan dalaman,” katanya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada strategi keselamatan makanan, pengukuhan industri tempatan serta jaminan bekalan asas sekiranya konflik antarabangsa berpanjangan.

Dalam masa sama, Dr Aliakbar menegaskan bahawa pembangunan tidak seharusnya sekadar indah di atas kertas, tetapi mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

“Kita tidak mahu projek yang gah dirasmikan tetapi gagal memberi manfaat. Kita mahukan pembangunan yang menyentuh kehidupan, mengangkat maruah dan menghapuskan jurang ketidakadilan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar kerajaan memberi keutamaan kepada penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih yang konsisten, jalan raya selamat, elektrik stabil serta akses kesihatan dan pendidikan yang menyeluruh.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu perumahan rakyat yang semakin meruncing apabila harga rumah meningkat lebih cepat berbanding pendapatan rakyat.

“Rumah bukan sekadar struktur batu dan simen, rumah ialah tempat anak membesar, tempat ibu bapa berlindung, tempat manusia pulang mencari damai setelah penat berjuang.

“Namun hari ini, memiliki rumah semakin menjadi impian yang menjauh,” katanya.

Beliau mempersoalkan tujuan pembangunan perumahan sekiranya rakyat tempatan sendiri tidak mampu memilikinya, sekali gus menegaskan keperluan dasar yang lebih tersusun dan berkesan.

“Kerajaan perlu memastikan rumah mampu milik benar-benar mampu dimiliki, bukan sekadar label.

“Faktor harga tanah, kos pembangunan dan margin keuntungan yang tinggi perlu dinilai semula agar tidak menekan rakyat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026

- Advertisement -