
KOTA KINABALU: Isu setinggan di Sabah tidak boleh ditangani secara sempit melalui penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan berperikemanusiaan dan penyelesaian yang lebih strategik.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, kewujudan setinggan berpunca daripada kemiskinan, harga rumah yang tinggi serta peluang pemilikan kediaman yang terhad.
“Mereka bukan memilih untuk hidup sebagai setinggan, tetapi keadaan yang memaksa. Jika setiap kali perobohan dilakukan, yang runtuh bukan sahaja rumah, tetapi juga harapan sebuah keluarga,” katanya dalam perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah ke-17, di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan pelan penempatan semula yang tersusun, rumah transit mencukupi serta peluang pemilikan rumah yang benar-benar mampu dicapai oleh golongan berpendapatan rendah.
Dalam masa sama, Dr Aliakbar turut menegaskan bahawa bekalan air dan elektrik merupakan keperluan asas yang tidak boleh lagi dianggap sebagai kemewahan.
“Masih ada rakyat Sabah yang menadah air hujan dan hidup dalam kegelapan apabila malam menjelma. Ini bukan sekadar isu kemudahan, tetapi soal maruah kehidupan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan memperkenalkan dasar jelas berteraskan prinsip “Air dan Elektrik Untuk Semua” bagi memastikan setiap rakyat menikmati bekalan asas secara adil dan menyeluruh.
Mengulas keadaan di Pulau Sepanggar, beliau menyatakan kebimbangan terhadap bekalan air dan elektrik yang masih tidak stabil walaupun kawasan tersebut menjadi nadi pembangunan dengan kewujudan institusi pendidikan dan pelabuhan.
“Rakyat tidak menuntut kemewahan, mereka hanya mahukan jaminan asas, bekalan yang konsisten dan tidak mengecewakan harapan,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu muara Sungai Manggatal yang semakin cetek akibat mendapan pasir dan hakisan, sekali gus menjejaskan pergerakan bot nelayan serta sumber pendapatan penduduk setempat.
Menurutnya, keadaan tersebut memberi kesan kepada beberapa kampung termasuk Kampung Kuala Manggatal, Kampung Numbak, Kampung Kibagu, Kampung Unggun, Kampung Lokub, Kampung Gudon dan Kampung Rampayan.
“Kerja pendalaman muara sungai perlu dilaksanakan secara berfasa dan menyeluruh. Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Aliakbar turut menegur keadaan lampu jalan di beberapa laluan utama yang tidak berfungsi walaupun tiangnya telah dipasang.
Mnurutnya, antara jalan yang terjejas termasuk Jalan UMS, Jalan Politeknik Kota Kinabalu, Jalan Sepanggar, Jalan Norowot serta Jalan Sabah Port Bypass.
“Lampu jalan bukan sekadar kemudahan, tetapi simbol keselamatan. Apabila jalan gelap, ia menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya dan penduduk,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan lampu solar berkuasa tinggi di kawasan yang sering berdepan masalah kecurian kabel sebagai langkah alternatif yang lebih mampan.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa perbuatan mencuri kabel merupakan satu bentuk kezaliman dan pengkhianatan yang menjejaskan keselamatan masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











