Kerajaan Negeri pandang serius kes dera kanak-kanak

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

MACHANG: Kerajaan Negeri memandang serius laporan berkaitan kes disyaki penderaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Kampung Sungai Mas, di sini, yang dipercayai didera oleh ibu dan bapa saudaranya selepas dipisahkan daripada empat adik-beradiknya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, perbuatan tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap amanah besar dalam institusi keluarga dan sama sekali tidak boleh dikompromi.

- Advertisement -

Katanya, tindakan pantas penduduk kampung, penghulu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat serta menerima rawatan yang sewajarnya.

“Terima kasih kepada penduduk kampung, penghulu dan JKM yang mengambil tindakan segera dengan memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, menerima rawatan yang sewajarnya serta diberikan sokongan psikososial secara berterusan.

“Perbuatan ini adalah satu pengkhianatan terhadap amanah besar dalam institusi keluarga dan sama sekali tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan media, kes berkenaan terbongkar selepas mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Bakar pada Isnin lalu untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor mengesahkan pasangan suami isteri berusia 29 dan 31 tahun telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, manakala JKM telah mengambil mangsa ke dalam jagaan sementara mengikut Seksyen 19(2)(a) akta yang sama.

Dalam pada itu, Rohani menegaskan kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus.

“Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah mengikut peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memperkasakan kaedah bimbingan dan nasihat dalam mendidik anak-anak, bukannya menggunakan pendekatan menghukum. – HARAKAHDAILY 28/4/2026

- Advertisement -