Halal bagiku, haram bagimu

- Advertisement -

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke berkata tindakan ADUN-ADUN Umno-BN menarik sokongan terhadap Kerajaan PH di Negeri Sembilan adalah tindakan yang tidak menghormati mandat yang telah diberikan rakyat dalam PRN 2023 yang lalu.

Keputusan semua 14 ADUN Umno-BN yang secara tiba-tiba menarik sokongan dipercayai terkait dengan isu kemelut istana di antara empat orang Undang dan Yamtuan Besar. Sekali gus ia mengoyahkan kedudukan MB Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

- Advertisement -

Namun jika kita mendalaminya, ada masalah dengan kenyataan Anthony Loke ini kerana sebelum PRU-15 yang berlangsung November 2022, Umno juga tidak ada apa-apa ikatan sama ada dengan PKR, DAP, BERSATU, Pan, mahupun PAS. Mereka bertanding secara solo.

Umno menang semua kerusi di kawasan masing-masing adalah kerana janji mereka melalui Presidennya, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ’No Anwar, No DAP’. Ungkapan keramat yang melegakan ahli-ahli Umno. Maka sebilangan ahli Umno yang masih mempercayai janji Presiden mereka, telah mengundi Umno.

Walhasil, setelah keputusan PRU-15 diumumkan dan Umno kehilangan kerusi dengan banyaknya. Manakala Presidennya telah mengadakan rundingan pintu belakang dengan PH kerana mungkin bimbang dengan kesnya di mahkamah. Ia dinyatakan dengan terperinci oleh Shamsul Iskandar Akin, calon PH yang menentang Zahid Hamidi di Bagan Datuk, bagaimana perancangan mereka untuk bergabung dalam satu podcast.

Akibat dari itu, ramai ahli Umno terkejut dan marah dengan tindakan melanggar sumpah dengan nama Allah oleh Presiden mereka itu. Ada sebahagian ahli Umno yang merubah sokongan mereka secara terbuka kepada PN atau keluar parti.

Hanya sahaja, Anthony Loke tidak pernah menyatakan tindakan Umno dalam PRU-15 yang memilih bersama DAP yang dibenci oleh ahli Umno itu sebagai tindakan mengkhianati mandat atau undi yang telah diberikan oleh ahli Umno untuk tidak bergabung dengan PH terutamanya dengan DAP.

Beliau hanya mengungkit kisah di PRN Negeri Sembilan sahaja, tidak kisah di PRU-15. Jadi, Anthony Loke juga mempunyai dua dalil. Halal bagiku, haram bagimu. Mungkin kerana sudah banyak mengikuti kelas fekah oleh pakar-pakar fekah dalam PH, maka beliau berhukum sedemikian. Macam Hannah Yeoh juga, pakai tudung, duduk bersimpuh masa dalam masjid.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 28/4/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -