
KOTA BHARU: Walaupun teknologi semakin berkembang pesat, nilai kemanusiaan tetap menjadi elemen teras dalam bidang terapi cara kerja.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, driving simulator dan robotik mampu membantu meningkatkan mutu rawatan, namun tidak boleh menggantikan sentuhan insani dalam proses pemulihan pesakit.
“Teknologi boleh membantu, tetapi tidak boleh menggantikan nilai kemanusiaan.
“Sentuhan manusia tidak boleh digantikan, empati tidak boleh diprogramkan, dan kebijaksanaan klinikal tidak boleh diautomasi,” katanya ketika merasmikan The Malaysian Occupational Therapists National Conference (MOTNC) 2026, di sini.
Beliau berkata, persidangan berkenaan menjadi platform penting memperkukuh jaringan profesional, inovasi dan perkongsian ilmu dalam sektor kesihatan negara.
Katanya, tema ‘Transforming Practice, Empowering Communities: The Future of Occupational Therapy’ merupakan satu seruan anjakan paradigma daripada pendekatan konvensional kepada kaedah yang lebih holistik, bersepadu dan berpusatkan komuniti.
“Peranan ahli terapi cara kerja bukan sekadar membantu pesakit kembali berfungsi, tetapi matlamat lebih besar ialah membantu mereka kembali bekerja, kembali memandu dan kembali berfungsi dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan data terkini, seramai 3,069 ahli terapi cara kerja telah berdaftar di bawah Akta 774, dengan lebih separuh berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Tambahnya, selebihnya turut menyumbang dalam pelbagai sektor strategik termasuk pendidikan, PERKESO, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Di Kelantan sendiri kita mempunyai kira-kira 150 orang ahli terapi cara kerja yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan ini khususnya dalam membantu warga emas, kanak-kanak berkeperluan khas dan pesakit rehabilitasi,” katanya lagi.
Dalam sidang media selepas majlis perasmian, beliau turut menegaskan keperluan menambah jumlah ahli terapi cara kerja di negeri ini susulan peningkatan kes autisme dan keperluan rawatan susulan di rumah.
“Kalau di Kelantan ini kita hanya ada 150 orang, itu tidak cukup dan kita perlu lebih ramai lagi. Kalau tahun ini 150, saya nak dengar tahun depan ada 300 orang occupational therapist,” ujarnya.
Tambah beliau, masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari anak mereka mempunyai ciri-ciri autisme, sedangkan intervensi awal amat penting untuk membangunkan kelebihan dan potensi yang ada pada kanak-kanak tersebut.
“Autisme ini ada kelebihan tersendiri pada kanak-kanak, tetapi mereka perlukan intervensi awal, kalau ibu bapa tidak tahu dan tidak sedar, sangat merugikan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden OT, Nora Hamid berkata, terapi cara kerja amat penting dalam membantu pemulihan pesakit strok, kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya serta kanak-kanak berkeperluan khas.
“Terapi tersebut bukan sahaja memberi rawatan kepada pesakit, malah turut mendidik ibu bapa supaya mampu memperkasa penjagaan anak di rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2026











