
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menggesa rakyat supaya sentiasa mengambil langkah berhati-hati susulan cuaca panas yang boleh mencetuskan kebakaran hutan serta menjejaskan kesihatan.
Beliau berkata, isu kebakaran tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat Exco melalui portfolio kesihatan bagi menentukan langkah pencegahan yang sewajarnya.
“Sekarang ini kebakaran hutan sudah jadi satu fenomena.Sebab cuaca, rakyat negeri perlu sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan,” katanya ketika disoal media selepas Majlis Perasmian MOTNC 2026, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan turut digerakkan untuk menasihati rakyat berhubung aspek keselamatan termasuk risiko kebakaran dan kesan cuaca panas.
“Ya betul, ada ADUN untuk menasihat, melalui sosial media pun kita tengok macam-macam nasihat diberikan oleh pihak kerajaan dan juga NGO,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Bomba bersama jabatan berkaitan sedang menyusun langkah teknikal bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang sama ada berpunca daripada cuaca mahupun kecuaian manusia.
“Orang ramai dinasihat agar mengelakkan pembakaran terbuka dan memastikan peralatan elektrik di rumah sentiasa diselenggara dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2026











