Kematian: Apa yang disuruh dan dilarang

- Advertisement -

Soalan:

Apakah sebenarnya perkara yang wajib dilakukan apabila berlaku kematian kerana saya lihat ada perbezaan pada beberapa tempat di mana di sebahagian tempat dilakukan apa yang tidak dilakukan di tempat yang lain dan begitu juga sebaliknya? Mohon ustaz sebutkan apa yang sebenarnya wajib dilakukan apa yang tidak wajib atau yang dilarang ketika kematian.

- Advertisement -

Jawapan:

Ketika berlaku kematian ada banyak perkara yang biasanya dilakukan oleh masyarakat setempat ketika menguruskan jenazah.

Ada yang diwajibkan dan ada yang disunatkan dan ada yang tidak disunatkan tetapi harus sahaja hukumnya dan tidak sedikit yang dilarang dari perbuatnya.

Terdahulu hendaklah diketahui perkara yang wajib dilakukan apabila kematian iaitulah memandikan dan mengkafankan dan menyembahyangkan dan menanamnya.

Berkata Imam Nawawi:

وغسله وتكفينه والصلاة عليه ودفنه فروض كفاية

Ertinya: “Dan memandikan mayat dan mengkafankannya dan sembahyang atasnya itu fardu kifayah.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan berkata Syeikh Khatib Syarbini:

(وَغُسْلُهُ) أَيْ الْمَيِّتِ (وَتَكْفِينُهُ وَالصَّلَاةُ عَلَيْهِ) وَحَمْلُهُ (وَدَفْنُهُ فُرُوضُ كِفَايَةٍ) لِلْإِجْمَاعِ عَلَى مَا حَكَاهُ فِي أَصْلِ الرَّوْضَةِ

Ertinya: “Dan bermula memandikan mayat dan mengkafankannya dan sembahyang atasnya serta mengusungnya dan menanamnya itu fardu kifayah kerana ijmak atas barang yang menghikayatnya pada asal Kitab Ar-Raudhah.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan berkata Syeikh Ibnu Qasim As-Syafie:

(ويلزم) على طريق فرض الكفاية (في الميت) المسلم غير المُحرِم والشهيد (أربعة أشياء: غسله، وتكفينه، والصلاة عليه، ودفنه)

Ertinya: “Dan wajib atas jalan fardu kifayah pada mayat yang Islam selain dari yang mati dalam ihram dan yang mati syahid ialah empat perkara iaitu memandikannya dan mengkafankannya dan sembahyang atasnya dan tanamnya.” (Kitab Fathul Qarib Al-Mujib)

Maka selain dari memandikan mayat dan mengkafankannya dan sembahyang atasnya dan menanamnya bukanlah perkara yang wajib melainkan mayat ada mewasiatkannya.

Dan ada beberapa perkara yang sunat dilakukan ketika memandikannya seperti mewangikan air mandian dan memandikan sebanyak tiga kali dan membasuh anggota yang kanan dahulu dan mewudukkannya dan ketika mengkafankannya seperti mengasapkan kain kafan dengan gaharu atau keminyan kerana mewangikannya dan melebihkan kafan dari had yang wajib pada hak mayat dan pada ketika sembahyang atasnya seperti sembahyang dengan empat puluh orang atau dengan tiga saf dan ketika menanamnya seperti dimasukkan bahagian kepalanya terlebih dahulu dan menggunakan liang dan lainnya yang disebut dengan panjang lebar di dalam kitab yang besar-besar.

Dan berdoa selepas selesai tanam dan membaca talqin dan membaca Quran juga sunat hukumnya bukannya wajib.

Dan adapun meletakkan batu nisan di atas kubur hukumnya adalah harus dan kata setengah ulamak ianya adalah sunat.

Dan antara perkara yang dilarang atau yang diharamkan ketika kematian itu ialah meraung atas kematian dan melambatkan hantar ke kubur hingga berubah keadaan mayat dan mengambil hak orang ramai dengan membuat pagar lebih dari luas kubur jika tanah itu diwaqaf dan membuat binaan atau meninggikan lebih dari had yang dibenarkan dan lain-lain lagi.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -