‘Tuduhan rempit di LTSIP tidak berasas’

Mohd Firdaus Mohamed Nawi
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tuduhan bahawa anak muda Kelantan melakukan aktiviti rempit di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) disifatkan tidak konsisten dengan realiti sebenar dan tidak adil terhadap imej golongan belia negeri ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, isu yang dibangkitkan perlu dilihat dalam konteks lebih menyeluruh dengan objektif membersihkan nama baik anak-anakmuda Kelantan daripada tuduhan tidak berasas.

- Advertisement -

Menurutnya, situasi di sekitar Jalan Tok Guru dan Jalan Pengkalan Chepa sememangnya sejak dahulu menjadi lokasi tumpuan anak muda bermotor dan tidak pernah sunyi dengan aktiviti sosial mereka.

Beliau menegaskan, tuduhan ‘merempit’ yang dikaitkan dengan rakaman video beberapa minit di laluan LTSIP merupakan satu falasi yang tidak berasas.

“Hakikatnya suntingan video tersebut hanyalah suatu ekspresi keterujaan anak muda terhadap penantian lapangan terbang yang terlalu lama dinantikan.

“Hanya pada zaman PN, dalam RMK-12 projek ini diluluskan dan adalah tidak cantik untuk dihentikan setengah jalan oleh kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, isu tersebut telah dimanipulasi dan disalahertikan melalui suntingan video sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) yang didakwa berniat dan berpihak sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah PAS menyetujui budaya rempit.

Mengulas lanjut, ujar beliau, jika benar berlaku aktiviti rempit di lokasi berkenaan, pihak pengurusan LTSIP dan penguat kuasa sepatutnya mempunyai bukti seperti rakaman video, laporan rasmi atau tangkapan untuk diambil tindakan.

“Tidak perlu ‘bermulut lembik’ menyalahkan Kerajaan Negeri sedangkan sepantas kilat boleh sahaja sekatan jalan disusun sepanjang hari.

“Kalau benar berlaku kesalahan, atasilah segera dengan undang-undang,” katanya.
.
Beliau menegaskan juga bahawa statistik kes rempit tertinggi di negara ini juga bukan berpunca dari Kelantan, justeru tidak wajar kerajaan negeri dipersalahkan secara melulu.

“Aktiviti rempit yang menyalahi undang-undang perlu dibezakan dengan konvoi, santai petang dan aktiviti sosial anak muda yang bersifat sihat.
“Fitnah bahawa kerajaan PAS Kelantan merestui rempit adalah agak kasar dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anak muda khususnya peminat motosikal yang berkunjung ke kawasan LTSIP supaya menjaga adab dan tidak mengganggu ketenteraman awam serta lalu lintas.

“Tunjukkan contoh terbaik kita selaku anak muda Negeri Kelantan terutama di muka pintu menyambut ketibaan tetamu dari luar.

“Sehubungan itu, Pemuda PAS Kelantan akan terus menyemarakkan program anak muda termasuk aktiviti konvoi secara sihat dan selamat bagi menyalurkan minat serta tenaga belia ke arah positif,” katanya. –HARAKAHDAILY 27/4/2026

- Advertisement -