
KERAJAAN Terengganu hanya menerima RM6.27 billion hasil royalti petroleum daripada jumlah keseluruhan yang wajib dibayar oleh Pusat iaitu RM15.847 billion dari tahun 2000-2008.
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menggunakan sebanyak RM873 juta wang royalti minyak Terengganu dalam tempoh itu. Daripada jumlah itu, Terengganu hanya menerima RM102 juta sahaja bagi projek perumahan yang dilaksanakan oleh SPNB dalam negeri Terengganu. Manakala wang selebihnya RM771 juta lagi, digunakan bagi projek-projek perumahan si negeri-negeri lain.
Sebanyak RM2.6 billion wang royalti hak milik Terengganu telah digunakan oleh kementerian-kementerian lain bagi projek Persekutuan yang dilaksanakan di dalam negeri Terengganu seperti LPT2 dan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dalam tempoh yang sama.
Terengganu bertegas akan berusaha untuk mendapatkan semula wang hak Kerajaan Negeri supaya dibayar segera oleh Pusat.
Ini adalah jawapan oleh MB Terengganu waktu itu, Dato’ Seri Ahmad Said pada sidang DUN April 2009 kepada soalan Wakil Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri Sarawak tidak mengeluarkan apa-apa perbelanjaan terhadap projek yang dilaksanakan oleh Pusat. Tiada keperluan membelanjakan wang negeri kerana ia adalah tanggungjawab Pusat. Itu prinsip jelas pentadbiran mereka.
Tiba zaman sekarang, ada kenyataan yang menyebut Kerajaan Pusat tidak berhutang dengan Kerajaan Terengganu.
Saya hanya teringat akan perangai seorang tahi judi suatu masa dahulu. Dia selalu berhutang dengan tuan kedai kopi makanan, hari-hari minta hutang makan. Kadang kalau menang, dia bayar, kadang tidak. Apabila tuan kedai minta hutang, sambil tunjuk buku hutang. Dia jelaskan balik dengan ‘fakta’ berkenaan hutang itu. Akhirnya, keputusan selepas meneliti fakta-fakta berbelit-belitnya itu, tuan kedai pula yang dia kata berhutang dengan dia. Termenung tuan kedai. Dia pula yang rugi.
Begitulah akal tahi judi….
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 27/4/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











