
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pelantikan bekas Hakim, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu perlu menjadi titik permulaan kepada usaha menyeluruh memulihkan keyakinan rakyat terhadap agensi berkenaan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pelantikan tokoh yang mempunyai latar belakang luas dalam bidang kehakiman dan perundangan itu membawa harapan baharu ke arah memperkukuh integriti serta profesionalisme agensi pencegahan rasuah negara.
Setiausaha Agung PN itu menegaskan, kepimpinan baharu itu diharap dapat memacu SPRM secara lebih bebas dan adil berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang, terutama selepas agensi tersebut berdepan pelbagai kritikan di bawah kepimpinan sebelum ini.
“Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan pelantikan bekas Hakim Datuk Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa pada 13 Mei depan.
“Pelantikan ini perlu dilihat lebih daripada sekadar pertukaran individu di peringkat kepimpinan. Ia perlu menjadi titik permulaan kepada usaha menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.
“(Yakni) sebagai institusi yang benar-benar bebas, berwibawa dan bertaraf dunia yang digeruni penjenayah, selain dihormati oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Pelantikan bagi Datuk Seri Abdul Halim bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara kelmarin, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar.
Sebelum ini, kepimpinan SPRM sering menjadi subjek perdebatan hangat di Parlimen dan media sosial, khususnya melibatkan dakwaan penguatkuasaan terpilih serta isu integriti membabitkan pegangan saham yang pernah mencetuskan kontroversi nasional.
Langkah melantik individu daripada badan kehakiman diharap oleh banyak pihak agar dapat memberikan wajah baharu yang lebih neutral kepada agensi tersebut bagi meredakan persepsi campur tangan politik dalam siasatan kes berprofil tinggi.
Takiyuddin berkata, rakyat menuntut agar siasatan dilakukan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, sekali gus menghapuskan persepsi layanan berbeza yang boleh menghakis kepercayaan awam.
“Rakyat tentunya mahu melihat siasatan dijalankan tanpa memilih bulu, campur tangan politik atau layanan berbeza berdasarkan kedudukan, pengaruh atau kepentingan tertentu yang jelas menghakis kepercayaan dan dipersoal rakyat.
“Kes-kes berprofil tinggi serta isu-isu ketidakcekapan atau salah laku yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disiasat secara telus, profesional seterusnya disusuli tindakan sewajarnya,” jelas beliau.
Selain itu, PN turut menggesa kerajaan agar memperkukuh mekanisme semak dan imbang, termasuk menambah baik perlindungan pemberi maklumat serta kepakaran forensik kewangan agensi tersebut agar setanding dengan piawaian antarabangsa.
“Justeru PN akan terus menyokong usaha-usaha tulen untuk membanteras rasuah, termasuk cadangan meletakkan SPRM di bawah kawalan terus Parlimen, selain kekal tegas menyambut baik reformasi institusi yang jujur dan berani demi kepentingan negara,” katanya.
Beliau menyimpulkan bahawa keberhasilan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah kunci utama untuk menyelamatkan potensi serta bakat negara daripada terus terjejas akibat ‘barah’ tersebut. – HARAKAHDAILY 26/4/2026











