
SHAH ALAM: Pimpinan DAP dan Kerajaan Madani diingatkan agar tidak cuba menormalisasikan perdebatan terhadap titah Sultan Selangor dengan menggunakan alasan ‘memberi cadangan’ berhubung isu penternakan babi di negeri ini.
Penganalisis politik, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki sebagai satu ‘cubaan’ untuk melihat reaksi umat Islam dan orang Melayu.
Beliau menjelaskan bahawa cadangan mengenai Penternakan Babi Moden (Modern Pig Farming – MPF) bukan perkara baharu, malah telah gagal dilaksanakan sebelum ini kerana keengganan penternak untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Eh Guan Eng, titah Sultan Selangor ni bukan tak ambil kira semua tu. Tuanku dah ambil kira. Baginda titah untuk tutup semua penternakan babi dalam negeri Selangor dan import untuk bekalan setelah ambil kira kesan kemusnahan alam sekitar akibat penternakan babi.
“Baginda arah tutup kandang babi dan import untuk keperluan dalam negeri Selangor. Maksudnya Baginda Sultan faham keperluan orang bukan Islam, tetapi dalam masa sama nak lindungi rakyat lain yang terjejas,” katanya.
Guan Eng menyatakan bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) membakar sentimen memandangkan wakil rakyatnya hanya mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan moden dan terkawal.
Bagaimanapun, ramai pihak merujuk kepada ketegasan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah menitahkan penutupan aktiviti tersebut bagi menangani isu pencemaran sungai dan udara kerana telah lama menghantui penduduk setempat.
Dr Nurul Islam menyifatkan pimpinan DAP sebenarnya sedia maklum bahawa para penternak cenderung menolak kaedah MPF kerana kos tinggi dan lebih memilih kaedah lama yang mencemarkan alam sekitar demi keuntungan berlipat ganda.
“Cadangan Modern Pig Farming ni bukan benda baru. Ketika Kerajaan (Allahyarham) Tan Sri (Abdul) Khalid (Ibrahim), satu arahan untuk pelaksanaan MPF ni telah dipersetujui. Kemudian Kerajaan PH juga teruskan arahan yang sama. Tapi adakah arahan ini diterima oleh penternak babi? Jawapannya tidak.
“Mereka terus dengan kaedah lama yang mencemarkan alam sekitar. Merosakkan sumber air. Menganggu kehidupan rakyat. Sebabnya kaedah itu adalah kaedah yang murah dan boleh untung berlipat ganda. Najis babi terus mengalir masuk dalam sungai,” jelas beliau.
Beliau turut mempersoalkan motif sebenar DAP yang terus mempertahankan tindakan wakil rakyatnya membangkitkan isu itu di dalam dewan meskipun titah baginda sudah jelas.
“Jadi kepada pemimpin DAP dan Kerajaan Madani _toksah_ (tidak usah) nak beri alasan dia hanya beri cadangan. Cadangan tu pernah dicadang dan tak laku pun. DAP pun tahu penternak taknak buat MPF.
“Sebab tu aku merasakan ni cara DAP nak ‘test water’. Nak tengok apabila mereka normalisasikan debat atas titah Sultan Selangor, adakah umat Islam dan orang Melayu bangkit,” katanya.
Terdahulu, Lim Guan Eng dalam kenyataannya meminta agar PAS tidak bersikap tidak bertanggungjawab dengan menuduh Wong sebagai ‘penderhaka’. – HARAKAHDAILY 26/4/2026











