Jentera PAS Melaka diperingat tidak tunggu saat akhir!

Digesa perkukuh disiplin, kesatuan hadapi PRN

- Advertisement -

AYER KEROH: Ir Mohd Hanim Abas mengajak semua jentera parti memberi perhatian kepada tiga perkara utama iaitu disiplin dalam melaksanakan tugas, keselarasan dalam gerak kerja serta kesatuan fikrah.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Melaka itu menegaskan, setiap perancangan yang telah dibuat oleh anggota jentera perlu dipastikan dilaksanakan dengan sebaiknya.

Manakala jelas beliau, semua peringkat termasuk Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Unit Daerah Mengundi (UDM) perlu bergerak seiring sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama.

Katanya, majlis pelancaran yang diadakan bukan sekadar acara biasa, sebaliknya menjadi permulaan kepada gerak kerja p lebih tersusun dan fokus bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Dalam pilihan raya orang mungkin nampak calon di hadapan, tetapi kekuatan sebenar terletak pada jentera di belakangnya dari peringkat negeri, Parlimen, DUN hinggalah ke peringkat unit daerah mengundi.

“Semuanya memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya tersebut,” ujarnya dalam Ceramah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Melaka di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini malam tadi.

Menurut beliau, kejayaan tidak datang secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada persediaan rapi, kerja konsisten dan kesungguhan bergerak sebagai satu pasukan.

Beliau turut mengingatkan bahawa masa semakin suntuk dengan PRN Melaka yang semakin hampir, justeru jentera tidak boleh lagi bergerak seperti biasa.

“Sekarang adalah masa untuk kita perkemaskan jentera, susun gerak kerja dengan jelas dan pastikan setiap peringkat tahu apa yang perlu dibuat.

“Kita tidak boleh tunggu saat akhir. Kita perlu mulai sekarang dengan perancangan yang betul, tindakan yang berterusan dan komitmen yang tinggi,” gesanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran pimpinan pada majlis berkenaan menunjukkan kepentingan Melaka dalam menghadapi pilihan raya serta isyarat kesediaan parti.

Beliau yakin dengan panduan pimpinan dan komitmen semua jentera, PAS mampu menghadapi PRN dengan lebih yakin dan tersusun.

“Saya ingin mengajak kita semua supaya melihat diri kita bukan sekadar hadir ke program ini tetapi sebagai sebahagian daripada satu gerakan besar yang kita bina bersama.

“Kita datang dengan persediaan, kita datang dengan perancangan dan kita datang dengan tekad untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan mengekalkan disiplin, strategi dan kesatuan dalam usaha menuju kemenangan dan mengakhiri ucapan dengan dua rangkap pantun.

“Pergi ke pekan membeli belati,
Singgah sebentar di tepi perigi,
Langkah disusun penuh berstrategi,
Kita melangkah menuju Seri Negeri.

“Anak nelayan turun ke muara,
Mengangkat jala di waktu pagi,
Bersatu jentera tekad membara,
Kemenangan kita di Seri Negeri nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/4/2026

- Advertisement -