Penduduk tolak cadangan ‘tidak masuk akal’ MPAJ

Dewan orang ramai jadi pusat kitar semula?

Serahan memorandum oleh Fazlee (baju putih) kepada Zafrul.
- Advertisement -

AMPANG : Persatuan Penduduk Kampung Perwira Jaya telah menyerahkan memorandum bantahan menukar Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kampung Perwira Jaya kepada pusat kitar semula.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusinya, Fazlee Ismail kepada Ketua Sektor Pembangunan dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Ir Ts Zafrul Fazry Mohd Fauzi di pekarangan Menara MPAJ, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Fazlee menegaskan cadangan itu tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan membelakangi suara rakyat kerana dewan berkenaan dibina hasil tuntutan penduduk, diluluskan sejak 2018 serta dirasmikan pada 2023 sebagai kemudahan utama komuniti.

Menurutnya, dewan itu digunakan untuk majlis, program masyarakat dan aktiviti keagamaan termasuk ibadah korban bersama Masjid Nurul Islam.

“Cadangan ini mencabuli tujuan asal pembinaan dewan, merampas hak penduduk terhadap kemudahan awam, mengganggu aktiviti keagamaan komuniti serta mendedahkan penduduk kepada risiko pencemaran, bau dan perosak.

“Ia juga dibuat tanpa rundingan dengan penduduk dan merupakan penghinaan terhadap prinsip demokrasi tempatan,” katanya pada sidang media, di pekarangan Menara MPAJ, di sini, hari ini

Fazlee menjelaskan alasan dewan kurang digunakan adalah mengelirukan kerana isu sebenar ialah kelemahan kemudahan dan pengurusan yang sepatutnya diperbaiki, bukannya dijadikan alasan untuk menukar fungsi.

Tambah beliau, penduduk hanya mengetahui cadangan itu melalui media sosial MPAJ tanpa sebarang perbincangan terdahulu.

“Harapan kami seperti yang dijanjikan pada pada 2018 yang dewan ni dibuat untuk keselesaan dan kegunaan penduduk Kampung Perwira Jaya bagi menggantikan dewan yang lama,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menuntut MPAJ membatalkan cadangan berkenaan serta-merta, mengembalikan fungsi asal dewan dan menghentikan keputusan tanpa libat urus penduduk.

“Sekiranya tuntutan ini diabaikan, penduduk tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut bagi mempertahankan hak komuniti.

“Kemudahan awam ini milik rakyat – bukan untuk dikorbankan oleh keputusan yang tidak berperikemanusiaan,” tegas beliau.

Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad memaklumkan, pembinaan dewan berkenaan diluluskan pada 2017 ketika beliau menjadi wakil rakyat kawasan itu dan siap serta dirasmikan pada 2023.

Beliau mengakui pihaknya terkejut dengan cadangan MPAJ untuk menukar fungsi dewan atas alasan kurang sambutan, sedangkan penduduk memaklumkan kesukaran membuat tempahan serta kemudahan yang tidak mesra pengguna.

“Kalau MPAJ tahu ada masalah tersebut, bincang dulu dengan penduduk dan selesaikan masalah. Contohnya penduduk telah menubuhkan persatuan penduduk untuk boleh menguruskan dewan tersebut.

“Kalau penduduk sendiri yang menguruskan, saya yakin bahawa ‘booking’ atau penggunaan dewan itu akan meningkat. Tapi kalau mereka kena pergi kepada MPAJ mungkin lambat sedikit.

“Lepas tu penduduk berkata bahawa dewan itu panas, tidak mesra pengguna. Jadi perlu diadakan penambahbaikan supaya dewan itu selesa untuk digunakan bukan untuk menukarkannya kepada pusat kitar semula,” tegas beliau.

Beliau turut memaklumkan kerja penambahbaikan berkaitan cadangan pusat kitar semula seperti pembinaan tembok telah dilaksanakan, namun ia boleh diteruskan sebagai penambahbaikan kemudahan dewan tanpa pembaziran.

Iskandar menegaskan pihaknya tidak membantah pembangunan pusat kitar semula, namun ia tidak sesuai dibina dalam kawasan kampung kerana berpotensi mengundang masalah kesihatan seperti pencemaran, tikus dan lalat.

Menurutnya, lokasi alternatif seperti tanah kosong yang jauh daripada kawasan kediaman termasuk di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) boleh dipertimbangkan.

“Jika bantahan ini tidak diendahkan, penduduk akan meneruskan bantahan ke peringkat lebih tinggi termasuk kerajaan negeri.

“Sebab ni isu besar isu kemudahan. kemudahan dahlah tak tak banyak di kawasan Ampang ini. Tetapi bila nak ambil balik, nak tarik balik kemudahan yang telah disediakan itu sesuatu perkara yang tidak wajarlah.

“Dan ingin saya tegaskan di sini bahawa dewan ini bukan hanya untuk penduduk Kampung Perwira Jaya tetapi untuk seluruh penduduk Ampang Jaya.

“Jadi yang telah dinafikan hak bukannya penduduk Kampung Perwira Jaya sahaja tetapi yang telah dinafikan hak adalah penduduk Ampang Jaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -