Video Sofia Rini: Anwar, Farhash juga perlu disiasat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mesti segera disiasat susulan pendedahan video terbaharu oleh individu dikenali sebagai Sofia Rini yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata tindakan tegas termasuk pembekuan akaun dan pengisytiharan harta perlu dilakukan bagi membuktikan prinsip tatakelola yang dilaungkan kerajaan selama ini benar-benar dilaksanakan tanpa pilih kasih.

- Advertisement -

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak boleh dipandang remeh memandangkan individu sama, Sofia Rini dilaporkan menjadi saksi penting dalam kes pendakwaan membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Hari ini tular pula video. Sambungan pada video, yang akhirnya bawa pertuduhan ke atas Shamsul Iskandar bekas Setiausaha Politik Kanan PMX. Kali ini Sofia Rini dakwa Farhash bawa duit bilion yang disonglap ke luar negara.

“Sofia Rini dakwa juga Anwar yang suruh songlap. Sofia Rini juga dakwa Farhash telah jadi warganegara Turkiye. Diambah juga olehnya bahawa sekiranya apa-apa terjadi, Anwar akan ke Afrika atau Turkiye,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Isu ini tercetus susulan siri pendedahan video dan audio oleh Sofia Rini yang sebelum ini dikaitkan dengan konflik dalaman Pejabat Perdana Menteri hingga Shamsul dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan berpunca daripada keterangan diberikan oleh Sofia.

Walaupun Sofia pernah mendakwa rakaman tersebut sebagai fitnah terhadap Perdana Menteri, namun penggunaan video dan audio yang sama dalam pendakwaan kes Shamsul menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti maklumat tersebut di sisi undang-undang.

Rafique Rashid yang juga seorang peguam menegaskan, sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara mempercayai keterangan Sofia dalam kes sebelum ini, maka dakwaan terbaharu ini juga wajib diberikan perhatian sama.

“Video dan audio ini terkait dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa. Tidak perlu tipu sesiapa. Individu-individu yang disebut mesti disiasat. SPRM, PDRM (Polis Diraja Malaysia), KDN (Kementerian Dalam Negeri) tiada pilihan lain. Farhash dan Anwar mesti disiasat.

“SPRM perlu keluar notis Seksyen 36 Akta SPRM 2009 atas nama Farhash dan Anwar. Mereka berdua mesti isytihar harta. Seeloknya juga kalau perlu dipakaikan baju lokap oren dan Azam Baki mesti keluar kenyataan dan sidang media seperti kes terkait pembangkang atau rakyat lain,” tegas Rafique.

Beliau turut mendesak PDRM menggunakan peruntukan di bawah Akta Anti-Pengubahan Wang Haram, Anti-Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) untuk membekukan akaun individu terlibat serta meminta Jabatan Imigresen memantau pergerakan keluar masuk mereka.

“Nama Farhash ini sentiasa mengekori Anwar, begitu juga bila disebut Anwar akan ada juga Farhash. Nama mereka juga muncul dalam laporan polis Yusoff Rawther mengenai perangkap pistol tiruan dan dadah ganja ke atasnya.

“Sehingga kini Ketua Polis Negara masih belum jawab sama ada Farhash dan Anwar telah dipanggil untuk siasatan atau dirakam percakapan. All roads lead to Anwar. He is the problem and needs to go.

“Isu ini isu sakau, songlap, bilion. Isu tatakelola dan wewenang. Isu jenayah. Isu rasuah. Bukankah ini saranan PMX pada kita semua supaya sama-sama lawan penyakau?” soalnya lagi.

Beliau turut merujuk kepada titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat menjadi mata dan telinga dalam membanteras rasuah, serta menuntut agar Sofia Rini turut disiasat bagi memastikan keadilan menyeluruh.

“Tiada pilihan lain, Farhash dan Anwar mesti dilayan seperti orang lain juga. Kalau tidak, ‘Tangkap Farhash’, ‘Tangkap Anwar’ mesti jadi slogan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -