
KUALA TERENGGANU: Pengasas dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pelantikan semula tokoh berusia 68 tahun itu dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan selepas tamat penggal pertamanya pada 19 Mac lalu.
Cadangan pelantikan Hussin dikemukakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum diumumkan Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Nor Hamzah pada persidangan itu.
Hussin berkata, beliau akan meneruskan tanggungjawab membawa suara negeri di peringkat Dewan Negara, khususnya berkaitan isu kepentingan rakyat Terengganu.
“Ini adalah amanah besar yang perlu saya galas untuk penggal kedua selepas tiga tahun pertama sebelum ini.
“Setiap kali perbahasan, saya tidak pernah terlepas daripada membangkitkan isu hak royalti petroleum negeri.
“Saya akan terus bersuara sehingga peruntukan royalti seperti yang termaktub dalam Akta Petroleum dan Perjanjian Royalti Petroleum 1975 dikembalikan kepada Terengganu mengikut peruntukan asal,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan pengulangan isu tersebut, beliau berpendirian ia perlu diteruskan selagi hak negeri belum diselesaikan.
Mengulas peranan Dewan Negara, beliau menjelaskan institusi itu berfungsi sebagai badan semak dan imbang terhadap setiap rang undang-undang serta keputusan yang diluluskan di Dewan Rakyat.
“Kita berusaha menjadi penyeimbang yang adil berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan, selain memastikan setiap perkara yang dibahaskan mengambil kira kepentingan negeri,” katanya.
Beliau berharap pengalaman sepanjang penggal pertama dapat membantu meningkatkan kematangan dalam berhujah, sekali gus memperkukuh penyampaian hasrat kerajaan negeri serta rakyat Terengganu di peringkat nasional.
Perjalanan kepimpinan beliau bermula seawal tahun 1991 apabila beliau mengasaskan Unit Amal Malaysia, seterusnya memegang peranan sebagai Ketua Komander dan Pengurus Eksekutif Jabatan Amal Malaysia.
Dalam bidang kemasyarakatan dan koperasi, beliau turut mengasaskan serta mempengerusikan Koperasi Kariah Masjid Tebakang (KOMIT), selain terlibat dalam Konsortium Kedai Runcit Koperasi Kariah Masjid Terengganu Berhad (K4MART) serta berperanan sebagai Setiausaha
Majlis Perunding koperasi berkaitan.
Dalam bidang pendidikan dan dakwah, beliau merupakan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL), serta
Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Regional Advocacy Center for Da’wah Region Centre (PDS), yang memberi fokus kepada pembangunan pendidikan berteraskan Al-Quran dan usaha dakwah.
Sementara dalam bidang kemanusiaan pula, beliau merupakan pengasas dan Presiden Amal Foundation of Malaysia serta International Federation for Relief & Development (IFRD), selain mengasaskan Mu’tamar Da’wah Malaysia (MDM), terlibat dalam penganjuran International Conference on Marawi serta mengetuai sekretariat bersama Human Development Academy (HUDA).
Sumbangan beliau turut dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif sosial seperti penubuhan Villa Mawaddah sebagai pusat jagaan dan rehabilitasi serta Warung Makan Sahabat bagi membantu golongan memerlukan, di samping mengetuai misi bantuan kemanusiaan di lebih 40
buah negara.
Di peringkat antarabangsa, beliau aktif dalam pelbagai program dan persidangan termasuk seminar dakwah, persidangan perpaduan ummah dan ekspo perdagangan Islam, serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai negara seperti Uganda, Afghanistan, Sudan dan negara-negara Asia, termasuk pemeteraian memorandum persefahaman bagi tujuan pembangunan bersama.
Dalam sektor korporat, beliau berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Kemaman Supply Base Sdn. Bhd. sejak tahun 2018 hingga kini.
Sepanjang penggal perkhidmatannya sebagai Senator Dewan Negara Malaysia mewakili Negeri Terengganu dari 15 Mac 2023 hingga 14 Mac 2026, beliau telah memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan legislatif negara.
Antaranya beliau terlibat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan Tatakelola, Integriti dan Anti-Rasuah, selain menganggotai Jawatankuasa Pemilihan, Jawatankuasa Pengundian Dewan Negara serta Kelab Senator, di samping aktif dalam Persatuan Parlimen Komanwel, Cawangan Malaysia.
Kecemerlangan dan sumbangan beliau turut dizahirkan melalui pengurniaan Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZ) oleh DYMM Sultan Terengganu pada 2025. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











