
SHAH ALAM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan data bahawa kira-kira 1,700 pekerja kehilangan pekerjaan memberi petunjuk kebimbangan terhadap peningkatan kadar kemiskinan dan ketidakstabilan sosial di Selangor.
Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN–Hulu Bernam) sehubungan itu mencadangkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan PERKESO bagi menyalurkan data pekerja terjejas ke dalam sistem MyKasih supaya bantuan dapat diberikan secara lebih tersasar dan segera.
Beliau menyuarakan demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
“Ramai rakyat sedang menunggu untuk mendaftar Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi tahun 2026 dan dalam situasi krisis ini, kuota bantuan juga wajar dipertimbangkan untuk ditingkatkan,” katanya.
Mengulas Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, beliau memuji usaha awal kerajaan negeri menyediakan kerangka persediaan menghadapi krisis global, namun menegaskan keperluan penambahbaikan melalui perbahasan lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, wakil rakyat muda tersebut turut mencadangkan agar satu sidang khas diadakan bagi membolehkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi input untuk memperkukuh pakej tersebut.
Menyentuh mengenai pengurusan isu alam sekitar, beliau membangkitkan masalah pengurusan sisa elektronik, khususnya pelupusan panel solar fotovoltaik.
Tegasnya, bahan e-waste dalam panel solar seperti logam berat, berisiko mencemarkan alam sekitar jika tidak diuruskan dengan teliti, sedangkan buangan itu dijangka meningkat seiring pertumbuhan tenaga boleh baharu di negeri ini.
“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu mempunyai dasar serta garis panduan jelas bagi menguruskan sisa ini pada skala besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut meminta kerajaan negeri membentangkan kemajuan projek waste-to-energy (WTE) di Jeram, Tanjung Dua Belas dan Kuala Langat, selaras dengan saranan Sultan Selangor untuk memperkukuh pengurusan sisa dan tenaga lestari.
Dalam isu banjir, beliau menyokong cadangan supaya pendekatan Belanda diteliti, termasuk konsep ‘Room for the River’ yang memberi ruang kepada aliran air secara semula jadi sebagai langkah mitigasi jangka panjang.
“Pendekatan ini menekankan pengurusan air secara bersepadu dan boleh dijadikan rujukan dalam usaha mengurangkan risiko banjir di Selangor,” katanya.
Kerajaan negeri juga tegas beliau, perlu melakukan menilai semula harga siling perumahan mampu milik susulan peningkatan kos bahan binaan akibat ketidaktentuan global.
Katanya, walaupun pencapaian pembinaan 75,493 unit rumah sehingga akhir 2025 adalah memberangsangkan, cabaran semasa menuntut pendekatan lebih realistik bagi memastikan rakyat terus mampu memiliki kediaman.
Mu’izzuddeen terdahulu mengingatkan bahawa konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran kini berkembang menjadi krisis serantau yang memberi kesan besar kepada rantaian bekalan global.
Katanya, gangguan terhadap bekalan tenaga, logistik dan makanan memberi tekanan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia dan negeri Selangor.
“Ini bukan lagi sekadar konflik ketenteraan, tetapi telah menjadi krisis tenaga dan inflasi global yang memberi kesan kepada rakyat di peringkat tempatan,” katanya.
Beliau sebelum itu merakamkan penegasan kepada Ahli Dewan bahawa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor sebagai panduan buat negeri.
Menurut beliau, kepentingan itu merangkumi teguran berhemah serta peringatan jelas kepada kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Katanya, titah baginda mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap pelbagai isu semasa termasuk konflik global, tekanan kos sara hidup, kesejahteraan ekonomi, teknologi dan tenaga, selain cabaran banjir serta perumahan mampu milik.
“Titah Tuanku bukan sekadar menyentuh pencapaian negeri, tetapi turut membawa mesej jelas supaya kerajaan negeri terus berwaspada dan bertanggungjawab dalam mengurus negeri serta menjaga kepentingan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











