
IPOH: Negara atau negeri umat Islam mempunyai kekuatan tersendiri dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa melalui instrumen ekonomi Islam seperti zakat, wakaf dan dana gharamah.
Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang) menjelaskan, instrumen berkenaan wajar dimanfaatkan secara strategik untuk membangunkan ekonomi rakyat.
Menurutnya, zakat tidak seharusnya dilihat hanya sebagai bantuan kebajikan jangka pendek, sebaliknya perlu diangkat sebagai instrumen pembangunan ekonomi yang mampu mengubah kedudukan penerima daripada sekadar penerima bantuan kepada penyumbang kepada ekonomi.
“Zakat (juga) boleh digunakan untuk membantu nelayan mendapatkan bot yang lebih selamat, enjin yang lebih baik yang mampu meningkatkan tangkapan dan mengurangkan kos operasi mereka dalam jangka masa yang panjang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.
Tambah beliau, zakat juga boleh disalurkan dalam bentuk penyediaan peralatan moden seperti alat pengesan ikan, pukat yang lebih berkualiti serta kemudahan penyimpanan sejuk bagi mengurangkan kerugian akibat kerosakan hasil tangkapan.
Katanya, dalam masa sama, zakat boleh digunakan untuk membiayai latihan keusahawanan kepada nelayan dan keluarga mereka supaya dapat menceburi aktiviti hiliran seperti pemprosesan dan pemasaran produk makanan laut.
Bagi sektor pertanian di kawasan berhampiran, beliau memaklumkan wang zakat boleh digunakan untuk menyediakan input pertanian seperti benih berkualiti, baja dan sistem pengairan moden yang dapat meningkatkan hasil serta produktiviti.
Jelasnya, pendekatan itu memastikan bantuan yang diberikan tidak bersifat sementara tetapi mampu menjana pendapatan berterusan.
Selain itu, beliau menyatakan wakaf mempunyai potensi besar dalam menyokong pembangunan ekonomi rakyat secara mampan.
“Sebagai contoh, tanah yang diwakafkan boleh digunakan untuk membangun pusat pengumpulan hasil laut, stor penyimpanan sejuk atau kompleks pemprosesan makanan yang diurus secara profesional.
“Hasil daripada aset wakaf ini kemudiannya boleh disalurkan kepada masyarakat dalam bentuk peluang pekerjaan dan sokongan ekonomi yang lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar dana gharamah, iaitu hasil daripada denda atau penalti yang dikenakan oleh institusi kewangan Islam, dimanfaatkan secara lebih strategik untuk menyelesaikan isu infrastruktur kecil tetapi kritikal di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, antara isu yang sering dibangkitkan rakyat ialah keadaan jalan yang tidak baik, jalan berlubang, jalan rosak, pelantar nelayan yang rosak serta kemudahan awam yang tidak diselenggara dengan baik.
Tambahnya, sekiranya dana gharamah dapat disalurkan untuk baik pulih jalan, pembaikan jeti nelayan serta penyelenggaraan sistem saliran, ia akan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
“Pendekatan ini bukan sahaja praktikal tetapi juga selari dengan prinsip keadilan dalam Islam di mana hasil daripada pelanggaran undang-undang dikembalikan kepada masyarakat dalam bentuk manfaat yang nyata,” katanya.
Beliau menegaskan kesemua pendekatan itu perlu dilaksanakan dalam kerangka Maqasid Syariah.
Ujarnya, pemilikan harta menuntut agar pendapatan rakyat dilindungi dan dipertingkatkan, pemeliharaan nyawa menuntut agar keperluan asas seperti makanan dapat dijamin.
Manakala jelas beliau, prinsip keadilan menuntut agar pembangunan diagihkan secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat. – HARAKAHDAILY 16/4/2026











