‘Bekukan projek mega, fokus ekonomi rakyat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah berani dan pragmatik dengan membekukan serta-merta pelaksanaan projek-projek mega bernilai berbilion ringgit sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, gesaan itu dibuat susulan situasi geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing dan dijangka memberi kesan sistemik terhadap rantaian bekalan global, termasuk kenaikan harga bahan api serta tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

- Advertisement -

Beliau berkata, dalam keadaan tidak menentu ini, keutamaan kerajaan seharusnya tertumpu kepada pengukuhan kedudukan fiskal negara serta usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, berbanding menyalurkan perbelanjaan besar kepada projek infrastruktur yang bersifat setempat dan belum mendesak.

“Dalam situasi global yang tidak menentu, tumpuan perlu diberikan kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Projek mega yang tidak mendesak hanya akan membebankan kedudukan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Muhammad Ismi turut mencadangkan agar beberapa projek besar dipertimbangkan untuk dibekukan buat sementara waktu, termasuk projek LRT Pulau Pinang serta kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa konflik di Asia Barat berpotensi mencetuskan peningkatan harga komoditi, sekali gus meningkatkan risiko inflasi yang boleh menjejaskan ekonomi domestik.

“Pelaksanaan projek besar yang bergantung kepada bahan mentah import berisiko menyebabkan peningkatan kos kontrak dan berlakunya perubahan kerja (variation order), yang akhirnya merugikan dana awam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa peruntukan berbilion ringgit bagi projek-projek tersebut lebih wajar dialihkan kepada pembentukan dana simpanan kecemasan serta bantuan bersasar kepada sektor-sektor terjejas, termasuk pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), serta usaha memperkukuh sekuriti makanan negara.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan membentangkan pelan pemulihan ekonomi yang lebih komprehensif di Parlimen bagi memastikan negara benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan perkembangan konflik global.

“Rakyat di peringkat akar umbi, termasuk di Parit, lebih mengharapkan kestabilan harga barang dan peluang pekerjaan yang mampan berbanding pelaksanaan projek mewah yang berpotensi menambah beban hutang negara dalam jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, ketegangan geopolitik di Asia Barat dilihat semakin memuncak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi global.

Konflik berpanjangan di rantau tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan serantau, malah turut menjejaskan pasaran tenaga dunia, khususnya melalui potensi gangguan bekalan minyak dan gas.

Dalam masa yang sama, ekonomi global masih berdepan tekanan susulan kadar inflasi yang tinggi, pelaksanaan dasar monetari ketat di negara-negara maju serta ketidaktentuan rantaian bekalan yang belum pulih sepenuhnya sejak pandemik COVID-19.

Keadaan ini mendorong banyak negara mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pengurusan fiskal, termasuk menilai semula pelaksanaan projek berskala besar.

Di peringkat domestik pula, isu kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama rakyat apabila harga barangan asas dan perkhidmatan menunjukkan trend peningkatan, sekali gus menguatkan keperluan kepada langkah penyesuaian dasar yang lebih berfokus kepada kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 15/4/2026

- Advertisement -