Asrama terbakar: 113 pelajar terjejas disalurkan bantuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) mengumumkan bakal menyalurkan sumbangan kebajikan dalam bentuk wang tunai kepada pelajar-pelajar yang terjejas dalam kejadian kebakaran asrama Sekolah Menengah Ugama (SMU) (A) Darul Ulum Muhammadiah, Bachok, di sini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, setiap seorang pelajar yang terlibat akan menerima sumbangan sebanyak RM250 bagi membantu meringankan beban mereka.

- Advertisement -

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat digunakan untuk menyediakan kelengkapan awal persekolahan pelajar terlibat.

“Walaupun jumlah ini tidak besar, sekurang-kurangnya ia dapat membantu pelajar-pelajar menyediakan keperluan asas selepas kejadian yang menimpa,” katanya.

Beliau menjelaskan, kebakaran yang berlaku pada 12 April 2026 itu melibatkan 113 pelajar asrama, terdiri daripada 59 pelajar perempuan dan 54 pelajar lelaki.

Sehubungan itu, Mohamed Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, murid serta guru dan pentadbir sekolah yang terkesan dengan kejadian tersebut.

“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan dalam insiden berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga blok bangunan sekolah berkenaan terbakar membabitkan struktur kekal, dengan satu daripadanya musnah hampir sepenuhnya.

Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1990 itu mempunyai 251 pelajar, dengan 113 daripadanya menetap di asrama. – HARAKAHDAILY 15/4/2026

- Advertisement -