
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani hakikatnya kini telah menunjukkan wajah sebenar yang hanya pandai berpidato tetapi gagal berempati, selar Prof Dr Haim Hilman Abdullah.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, ketika harga minyak dunia naik, rakyat diminta oleh pemimpin politik agar memahami situasi kononnya kerajaan terpaksa akur kepada pasaran global.
Tetapi bidasnya, apabila tekanan perang mula reda dan ada ruang untuk harga diturunkan, kerajaan tiba-tiba menjadi lambat, kaku dengan seribu alasan.
“Sikap begini benar-benar menghina kesabaran rakyat. Rakyat Malaysia mengharapkan sedikit kelegaan. Namun apa yang rakyat terima bukanlah kelegaan, tetapi beban yang terus dipaksakan ke atas bahu mereka,” katanya.
Ujar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah itu lagi, rakyat boleh melihat sendiri sikap sebenar pemimpin Kerajaan Madani di mana cepat dengan alasan, bukannya tindakan.
Hal itu katanya, berbeza dengan negara Thailand yang bersungguh bertindak campur tangan bagi mengurangkan tekanan rakyat, walaupun berdepan cabaran fiskal dan pasaran tenaga.
Kesungguhan yang ditunjukkan oleh negara jiran itu ujarnya, tiada pada Malaysia, sebaliknya pemimpin negara seolah-olah mahu rakyat terus menanggung derita dan sibuk menjual naratif kononnya semuanya masih terkawal.
“Hakikatnya, yang ‘terkawal’ hanyalah retorik mereka, bukan kos hidup rakyat. Rakyat tidak marah semata-mata kerana harga minyak. Tetapi kerana setiap kali minyak naik, seluruh rantaian hidup rakyat ikut terbakar, tambang meningkat, harga makanan melonjak, kos penghantaran menekan.
“Peniaga kecil tersepit, a muda mengikat perut, mahasiswa semakin sempit dan keluarga B40 dipaksa terus memilih antara keperluan dengan kelangsungan. Yang sakit bukan sekadar angka di stesen minyak, tetapi maruah hidup rakyat yang makin dihimpit hari demi hari,” ulasnya.
Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat itu turut menempelak sikap kerajaan hari ini yang hanya pandai bercakap berkenaan reformasi, tetapi sebenarnya gagal memberi keyakinan bahawa mereka berada di pihak rakyat.
“Bercakap soal ihsan, tetapi rakyat hanya merasa tekanan. Bercakap soal masa depan, tetapi rakyat sedang bergelut untuk bertahan hari ini. Sebab itu kemarahan rakyat bukan lagi soal ekonomi semata-mata, tetapi sudah menjadi soal kepercayaan yang dikhianati,” tambahnya lagi.
Sungguhpun demikian, beliau berharap rakyat tidak berputus asa kerana kerajaan yang angkuh terhadap jeritan rakyat akan dihukum oleh rakyatnya sendiri.
Sebaliknya seru beliau, rakyat mesti terus bangkit, bersuara terutama menyedarkan masyarakat bahawa negara ini tidak boleh dibiarkan dipimpin oleh mereka yang gagal memahami denyut nadi rakyat bawahan.
“Rakyat bukan alat propaganda, bukan angka statistik. Rakyat adalah jiwa negara ini. Atas sebab itu, telah tiba masanya rakyat tanpa mengira kaum perlu bersedia untuk memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
“Jika PN membentuk kerajaan, PN akan tampil dengan keberanian, kejujuran dan keberpihakan yang jelas kepada rakyat,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi.
Rakyat Malaysia katanya, perlukan pemimpin negara yang faham serta bertindak segera ketika rakyat berdepan kesusahan serta menjadi pendengar yang baik mendengar jeritan rakyat di samping menjadi penyelamat apabila negara ‘luka dan cedera’.
Malaysia katanya, tidak akan diselamatkan oleh slogan semata-mata, atau kata kesat serta penghinaan pemimpin terhadap rakyat, sebaliknya akan diselamatkan oleh kepimpinan yang takut kepada Allah, mendukung nilai-nilai murni sejagat dan sentiasa berpihak kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 10/4/2026











