Malaysia wajar pertahan kedaulatan diplomatik

Melaka wajar dimartabatkan sebagai hab strategik serantau

- Advertisement -

SAYA memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Singapura berhubung isu laluan strategik di Selat Hormuz, yang boleh ditafsirkan sebagai memberi gambaran seolah-olah pendekatan diplomatik Malaysia dalam menangani isu keselamatan tenaga dan perdagangan serantau adalah kurang wajar atau kurang berprinsip.

Malaysia ialah sebuah negara berdaulat. Sebarang pendekatan diplomatik yang diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan negara, keselamatan tenaga, kelangsungan perdagangan, serta kestabilan serantau adalah hak mutlak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Diplomasi yang pragmatik dan berprinsip bukanlah satu kelemahan, sebaliknya, ia adalah lambang kematangan kepimpinan dalam mendepani krisis global yang semakin kompleks.

Singapura berhak mempertahankan tafsiran undang-undang antarabangsa menurut pendiriannya sendiri.

- Advertisement -

Namun begitu, Singapura tidak seharusnya memberi persepsi seolah-olah negara-negara yang memilih pendekatan dialog, pengurusan risiko dan diplomasi aktif adalah kurang tegas atau kurang berprinsip.

Dalam keadaan dunia berdepan ketegangan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada laluan maritim, bekalan tenaga, rantaian bekalan makanan dan perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu terus bertindak dengan penuh keyakinan, rasional dan keutamaan kepada kepentingan nasional.

Malaysia mesti memimpin dengan kebijaksanaan

Sebagai negara anggota ASEAN yang strategik, Malaysia tidak boleh terperangkap dalam naratif sempit yang hanya menekankan prinsip undang-undang tanpa mengambil kira realiti geopolitik, keselamatan pelayaran, kepentingan perdagangan dan kesejahteraan rakyat.

Malaysia perlu mempertahankan haknya untuk mengambil pendekatan diplomatik yang lebih praktikal, seimbang dan berorientasikan kestabilan.

Dalam situasi seperti ini, kebijaksanaan diplomasi sering kali lebih bernilai daripada retorik yang keras tetapi tidak membawa penyelesaian.

Saya menyeru kerajaan Malaysia agar:

1. Segera melaksanakan cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dato Seri Dr Samsuri agar diwujudkan Majlis Intervensi Ekonomi rentas parti politik bagi menangani krisis tenaga global secara berkesan.

2. Menegaskan semula hak Malaysia sebagai negara berdaulat untuk berinteraksi secara diplomatik dengan mana-mana negara demi melindungi kepentingan strategik negara termasuk mengkaji semula aktiviti eksport bahan tenaga dan biodiesel ke luar negara terutamanya melalui Singapura bagi mengekang kenaikan harga.

3. Memimpin usaha ASEAN untuk mewujudkan kerangka kerjasama serantau berkaitan keselamatan maritim, laluan perdagangan strategik dan daya tahan tenaga.

Melaka mesti menjadi penerima manfaat strategik

Dalam masa yang sama, situasi ini tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut polemik diplomatik semata-mata. Ia juga perlu dilihat sebagai peluang strategik untuk memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia, khususnya negeri Melaka, sebagai hab maritim, logistik, tenaga dan perdagangan halal yang lebih berdaya saing.

Sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu, saya melihat bahawa Melaka mempunyai kelebihan geostrategik yang amat besar untuk diperkasakan sebagai:

1. hab logistik dan maritim pelengkap kepada ekosistem pelabuhan negara;

2. hab simpanan, pemprosesan dan pengedaran biodiesel serta produk tenaga hiliran;

3. hab rantaian bekalan halal dan perdagangan serantau;

Justeru, saya menggesa Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Melaka agar segera merangka pelan tindakan strategik khas untuk memposisikan Melaka sebagai negeri yang menerima manfaat langsung daripada perubahan landskap perdagangan, keselamatan tenaga dan rantaian bekalan global.

Kita tidak boleh hanya melihat ketegangan antarabangsa sebagai ancaman.

Kita mesti menterjemahkannya menjadi peluang pelaburan, peluang pekerjaan, dan masa depan ekonomi yang lebih kukuh untuk rakyat Melaka dan Malaysia.

Kita mesti menegaskan kepentingan saling hormat-menghormati dalam semangat ASEAN.

Jika dunia sedang menilai semula laluan tenaga dan perdagangan, maka inilah masa untuk Melaka bangkit sebagai hab strategik masa depan Malaysia.

Sekian, terima kasih.

BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu
Jumaat | 10 April 2026 – HARAKAHDAILY 10/4/2026

- Advertisement -