Kos diesel naik: RM300 BUDI Madani tak cukup!

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kadar bantuan BUDI Madani RM300 sebulan yang diberikan ketika ini adalah tidak mencukupi untuk menampung realiti kos bahan api yang semakin meningkat, khususnya bagi pengguna diesel dalam kalangan B40 dan M40.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata demikian sambil menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan digesa menyemak semula kadar bantuan budi Madani daripada RM300 kepada jumlah yang lebih munasabah, selaras dengan kenaikan harga diesel semasa.

Beliau menjelaskan hujahnya bahawa berdasarkan anggaran penggunaan purata 200 liter diesel sebulan, pengguna kini perlu menanggung kos sekitar RM1,044 sebulan selepas ditolak bantuan RM300 BUDI Madani.

“Bagi pengguna kenderaan diesel dalam kalangan B40 dan M40 yang menggunakan purata 200 liter sebulan, mereka terpaksa bayar kos diesel sebanyak RM1,044 sebulan (selepas tolak RM300 BUDI Madani),” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial, hari ini.

Menurut beliau, keadaan ini memberi tekanan besar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya apabila merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan pendapatan purata kumpulan B40 sekitar RM3,814 sebulan.

Tambah Faizuddin, dengan perbelanjaan diesel bersih sebanyak RM1,044, lebih 27 peratus daripada pendapatan bulanan golongan B40 kini ‘terserap’ hanya untuk kos bahan api kenderaan.

“Kesan yang lebih berat turut dirasai oleh golongan penternak dan pekebun kecil (agri komoditi),” ujarnya.

Justeru katanya, bagi sektor tersebut, penggunaan diesel sekitar 300 liter sebulan sebagai anggaran minimum operasi menyebabkan mereka perlu menanggung kos sehingga RM1,716 sebulan selepas ditolak bantuan RM300.

“Ini adalah satu ketidakadilan yang membunuh kelangsungan operasi penternak kecil yang tidak layak mendapat skim SKDS 2.0 tetapi terpaksa berdepan harga pasaran yang tidak munasabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata menurut Kementerian Kewangan, seramai 340,000 pemohon telah mendaftar di bawah skim BUDI Madani (Diesel).

Sehubungan itu Faizuddin menegaskan meskipun jumlah tersebut dilihat kecil, kerajaan tidak seharusnya memandang ringan impaknya terhadap rakyat yang terkesan, khususnya dalam kelompok B40, M40 serta pengusaha kecil.

“Walaupun jumlah mereka kecil dan mungkin tidak mampu memberi impak politik dalam PRU-16, pimpinan PH perlu ingat bahawa rakyat Malaysia boleh bersolidariti melawan kezaliman dan kegagalan Kerajaan Madani dalam PRU akan datang,” jelasnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa rakyat sedang memerhati dan akan menghukum pemimpin yang gagal menangani isu kos sara hidup.

Sehubungan itu, beliau berkata Pemuda PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung Malaysia sehingga RM6.72 seliter tanpa semakan semula kadar bantuan BUDI Madani yang disifatkan tidak mencukupi.

Terdahulu, dasar penyasaran subsidi diesel di Malaysia telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula subsidi bahan api bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan hanya diterima oleh golongan yang layak.

Melalui pendekatan ini, harga diesel diapungkan di Semenanjung Malaysia, manakala bantuan tunai seperti BUDI Madani diperkenalkan bagi meringankan beban pengguna terkesan.

Selain itu, sebahagian pengguna sektor pengangkutan dan logistik turut layak memohon skim kawalan diesel bersasar seperti SKDS 2.0 bagi mendapatkan harga bersubsidi melalui kuota tertentu.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, perubahan harga bahan api secara langsung memberi kesan kepada kos sara hidup, khususnya dalam komponen pengangkutan yang merupakan antara penyumbang utama kepada inflasi pengguna di negara ini. – HARAKAHDAILY 10/4/2026

- Advertisement -