Tiada kompromi, keselamatan awam diutamakan

Aktiviti rempit di LTSIP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius isu aktiviti tidak sihat melibatkan segelintir anak muda di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang tular di media sosial baru-baru ini.

Zamakhshari Muhamad menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan awam tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani secara tegas melalui tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

- Advertisement -

“Namun begitu, isu ini tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda di Kelantan.

“Hakikatnya, majoriti anak muda di negeri ini aktif dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan serta pelbagai program pembangunan diri yang positif,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan itu.

Menurutnya, bagi menangani isu tersebut secara berkesan, kerajaan negeri mengguna pakai pendekatan bersepadu merangkumi aspek penguatkuasaan, pembangunan belia serta penyediaan kemudahan riadah.

Tambah beliau, dari sudut penguatkuasaan, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selain menyokong operasi berterusan di kawasan berisiko.

Tambahnya, pemantauan berkala juga dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

“Dalam aspek pembangunan belia pula, pelbagai program diperluaskan termasuk pembinaan sahsiah, kemahiran dan kepimpinan.

“Ia merangkumi program di bawah Kelantan Future Leaders Institute (KFLI), Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ) serta pelbagai inisiatif akar umbi belia dan sukan di bawah Urusetia Belia dan Sukan (UBES),” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri turut mengaktifkan platform belia di peringkat negeri dan komuniti dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan bagi membuka ruang penglibatan positif dalam kalangan anak muda.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri sedang menggerakkan pewartaan tanah kerajaan sebagai tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah bagi menyediakan ruang aktiviti permotoran yang lebih selamat dan terkawal.

“Selain itu, kemudahan riadah keluarga dan rekreasi di seluruh negeri turut dipertingkatkan, di samping sokongan terhadap program permotoran sihat seperti RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu sosial berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, komuniti serta anak muda sendiri.

Menurutnya, pembinaan nilai, disiplin dan tanggungjawab perlu diperkukuh agar setiap individu memahami batas kebebasan serta menghormati keselamatan dan kepentingan awam.

“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan keselamatan awam terpelihara, memperkasa pembangunan belia secara holistik serta menyediakan ruang dan peluang yang konstruktif kepada anak muda.

“Isu ini perlu ditangani secara bijaksana dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka panjang, bukannya melalui pelabelan atau persepsi yang tidak membantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2026

- Advertisement -