
KOTA KINABALU: PAS Sabah melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan terkini berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil negeri, serta menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan janji yang telah dinyatakan sebelum ini.
Perkara itu timbul susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam menghormati hak Sabah.
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, pada November 2025, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan secara jelas dan terbuka bahawa mereka tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menyentuh hak Sabah untuk semakan semula pembayaran hasil negeri.
“Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan bersedia menghormati keputusan mahkamah dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih adil terhadap hak negeri Sabah.
“Namun, perkembangan pada April 2026 menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah undang-undang untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun tindakan itu mengikut prosedur perundangan, namun kesannya tetap jelas, pelaksanaan keputusan yang sepatutnya berpotensi memberi manfaat kepada rakyat Sabah telah ditangguhkan.
“Dalam konteks ini, PAS Sabah melihat wujudnya jurang di antara komitmen awal yang disampaikan kepada rakyat dan tindakan susulan yang diambil,” ujarnya yang juga ADUN Karambunai.
Tambahnya, keadaan itu menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku keadaan ‘cakap tidak serupa bikin’ dalam pengurusan isu hak Sabah.
“Rakyat Sabah berhak untuk mendapatkan penjelasan yang telus, apakah pendirian sebenar Kerajaan Persekutuan terhadap isu ini, adakah benar komited untuk menunaikan hak Sabah atau sebaliknya?
“PAS Sabah ingin menegaskan bahawa isu 40 peratus hasil Sabah ini bukan sekadar perdebatan teknikal undang-undang atau angka fiskal semata-mata.
“Ia menyentuh prinsip keadilan di antara persekutuan dan negeri, serta amanah dalam mengurus hak yang telah termaktub dalam kerangka perlembagaan,” ujar beliau lagi.
Justeru, katanya PAS Sabah menyeru perkara-perkara berikut dilaksanakan iaitu Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan yang konsisten dan menyeluruh kepada rakyat negri ini mengenai hala tuju sebenar isu berkenaan.
Tambahnya, sebarang tindakan undang-undang yang diambil tidak menjejaskan prinsip asas keadilan terhadap hak Sabah.
Katanya lagi, rundingan yang lebih telus dan berasaskan kepercayaan dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang mampan.
PAS Sabah, jelasnya akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif, memastikan setiap dasar dan tindakan kerajaan sentiasa berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab kepada rakyat.
“Isu ini menuntut kejelasan, bukan kekeliruan, rakyat Sabah tidak sekadar menilai apa yang dijanjikan, sebaliknya turut menilai bukti daripada janji yang sudah ditunaikan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2026











