
KUALA NERUS: Kemunculan teknologi baharu berasaskan sumber Rare Earth Elements (REE) kini menjadi perhatian dunia, sekali gus menuntut umat Islam khususnya di rantau Alam Melayu untuk bersiap siaga mempertahankan kepentingan strategik tersebut daripada dikuasai pihak luar.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkembangan itu memperlihatkan bagaimana rantau ini semakin menjadi tumpuan kuasa besar dunia yang ingin menguasai sumber dan teknologi masa hadapan.
Menurutnya, REE kini menjadi kerangka baharu yang bakal menggantikan kebergantungan kepada bahan petroleum yang telah melalui tempoh dominasi yang panjang.
“Hari ini dunia kuasa besar telah mula beralih kepada penguasaan teknologi yang lebih canggih, khususnya seperti REE ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Perhimpunan Alam Melayu 2026, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa REE dijangka menjadi elemen baharu yang akan mencetuskan persaingan sengit dalam kalangan kuasa besar dunia untuk menguasai rantau ini.
“Kerana itu perlu satu persiapan rapi untuk menyusun strategi supaya kita tidak terperangkap dengan apa yang cuba dibawa oleh kuasa besar dalam persaingan mereka untuk menguasai wilayah ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan turut membentangkan sejarah kegemilangan Alam Melayu yang pernah mencapai tahap tinggi dalam pelbagai bidang.
Katanya, kedatangan Islam ke Tanah Melayu berlaku secara aman tanpa peperangan, berbeza dengan beberapa wilayah lain di dunia.
“Budaya masyarakat Alam Melayu sebelum kedatangan Islam mempunyai ciri-ciri yang hampir dengan ajaran Islam seperti sifat lemah lembut, bertolak ansur, menghormati tetamu dan pandangan pihak lain.
“Sikap toleransi yang tinggi dalam kalangan orang Melayu menyebabkan Islam mudah diterima apabila sampai ke rantau ini.
“Apa yang belum ada ketika itu hanyalah akidah, dan apabila akidah Islam dibawa masuk, ia diterima baik oleh raja-raja Melayu sebelum diikuti oleh rakyat,” katanya.
Tambah beliau, dengan kehadiran Islam, martabat Alam Melayu telah diangkat dan dimuliakan oleh Allah SWT, sekali gus menjadikannya antara wilayah penting dalam sejarah perkembangan tamadun dunia.
“Ia bukan sahaja berkembang dari sudut ilmu pengetahuan, bahkan turut menyumbang dalam bidang teknologi dan sains sehingga pernah menjadi rujukan dunia suatu ketika dahulu,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Republik Islam Iran, Valiollah Mohammadi Nasrabadi yang mengikuti keseluruhan perjalanan program tersebut sebagai tanda komitmen dalam memperkukuhkan kesatuan ummah di peringkat antarabangsa.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada pendakwah antarabangsa, Zakir Naik yang kehadirannya menambahkan nilai kepada wacana keilmuan dan penyatuan umat.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri-Menteri Besar SG4 melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, serta tokoh-tokoh dari pelbagai negara termasuk Palestin, Patani, Singapura, Myanmar, Filipina dan Indonesia yang menjadikan himpunan itu sebagai platform besar penyatuan umat di rantau ini. – HARAKAHDAILY 4/4/2026











