Hukuman masih lemah, pemandu mabuk terus ancam nyawa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan bahawa pemandu mabuk tidak akan serik selagi hukuman yang dikenakan tidak cukup keras dan memberi kesan mendalam.

Beliau berkata, hukuman sedia ada perlu dipertingkatkan agar benar-benar menjadi benteng pencegahan yang tegas terhadap kesalahan tersebut.

- Advertisement -

“Pemandu mabuk ini tidak akan serik selagi hukuman yang dikenakan tidak benar-benar keras dan memberi kesan yang mendalam.

“Selain itu, jangan hanya menumpukan kepada hukuman terhadap pemandu mabuk kerana ia masih lagi tidak menyentuh akar masalah,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial, hari ini.

Beliau turut menyokong cadangan pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain hukuman penjara.

“Namun kita harus jujur, pindaan ini sahaja masih belum cukup menggerunkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Afnan berkata isu arak yang terus dinormalisasikan dalam masyarakat turut menyumbang kepada peningkatan kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, minuman keras itu bukan sahaja dipromosikan secara terbuka, malah diraikan dalam acara seperti Oktoberfest, selain terdapat kes melibatkan penjualan dan promosi di kawasan sekolah yang mencetuskan kebimbangan.

Lebih membimbangkan, menurut beliau, terdapat syarikat arak yang menaja program melibatkan pelajar.

“Ini bukan lagi isu kecil.

“Ini adalah kegagalan kita mempertahankan batas dan nilai dalam masyarakat.

“Jika perkara sebesar ini pun masih gagal ditangani, dan lebih buruk apabila ada pihak yang sanggup mempertahankan serta menyebelahi tindakan sedemikian, maka jangan kita hairan jika tragedi pemandu mabuk akan terus berulang,” katanya.

Tambah beliau, undang-undang yang keras sekali pun tidak akan mampu menyelesaikan masalah sekiranya punca utama tidak ditangani.

“Kita tidak boleh lagi berkompromi.

“Jangan ada mana-mana pihak, apatah lagi ahli politik, yang cuba menormalisasikan arak dalam masyarakat.

“Arak adalah ibu segala dosa.

“Arak adalah punca jenayah.

“Arak adalah punca kematian di jalan raya,” tegasnya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain daripada hukuman penjara yang dikenakan.

Menterinya, Anthony Loke berkata langkah itu selaras pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Akta 333 mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -