Harga minyak naik: Menanti intervensi KPKM untuk pesawah

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kenaikan harga diesel dengan terkini diumumkan RM6.02 seliter, bukan sahaja memberi kesan kepada kos ekonomi rakyat, sebaliknya turut menjejaskan sektor pertanian.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, walaupun semua pihak sedia maklum isu berkenaan berpunca peraduan kuasa antara negara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

- Advertisement -

Namun katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu merangka tindakan drastik berstrategik bagi mendepani krisis berkenaan.

“Cuma persoalannya, sejauh mana tindakan KPKM bagi mendepani krisis tenaga yang bakal membelenggu sektor keterjaminan makanan negara ini.Sama ada petrol mahupun diesel, harganya naik mencanak di seluruh negara.

“Jadi, apakah langkah-langkah intervansi KPKM bersama agensi sebumbung atau silang kementerian bagi menangani kenaikan kos input. Lebih-lebih lagi menjelang musim penanaman padi yang akan bermula ini,” soal beliau melalui kenyataan beliau, di sini.

Ujarnya, sebagai kementerian yang menjaga urusan berkaitan pertanian, KPKM wajar merangka tindakan komprehensif sama ada untuk jangka pendek mahupun sederhana bagi menyerap kos bakal melambung.

“KPKM tidak boleh berlepas tangan atau memandang sepi dengan krisis yang ada di depan mata. Semua pihak sedia maklum, para pesawah dan petani akan mengalami tekanan selepas peningkatan harga petrol dan diesel secara mendadak ini,” tegas Dr Ahmad.

KPKM disyorkan bagi tempoh jangka pendek, menjadi fasilitator kepada para pesawah berskala kecil bagi memudahkan mereka mendapatkan sebarang bentuk bantuan secara automatik.

Terutama katanya kepada ahli Persatuan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), termasuk juga Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) ataupun mana-mana agensi berkaitan.

Selain itu tegasnya, kementerian juga harus mengintegrasikan data daripada agensi seperti MADA, PPK dan KADA untuk melayakkan pesawah kecil daripada sistem Bantuan Umum Diesel Individu Madani (BUDI MADANI).

Menurutnya, sering terjadi kes para pesawah tercicir daripada inisiatif tersebut terutama yang mengusahakan tanah sewaan atau menggunakan jentera pihak ketiga.

“Reformasi struktur industri padi juga perlu dipercepatkan dengan mencadangkan perubahan kepada dasar sedia ada bagi memastikan pesawah kekal untung walaupun kos input meningkat seperti baja, racun dan selainnya.

“Pemain industri padi juga layak dipertimbangkan pemberian baucar atau pelepasan cukai khas untuk alat ganti jentera pertanian memandangkan kos penyelenggaraan dijangka meningkat akibat kesan rantaian diesel,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan juga dicadangkan meluaskan sistem ‘Fleet Card’ kepada lebih ramai pemain dalam sektor pertanian, memandangkan ramai pemilik jentera menuai dan membajak didapati tidak layak menerima subsidi berkenaan.

“Semua cadangan alternatif yang dikemukakan itu terangkum dalam satu usul konstruktif, iaitu pengenalan skim sokongan input berasaskan data.

“Selain itu rakyat di bawah juga ternanti-nanti, apakah tindakan KPKM selepas kenaikan kos diesel menjelang musim penanaman padi bermula terutamanya di Kedah. Apakah ada rancangan ataupun sebaliknya?” soal beliau.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) juga menyuarakan kebimbangan berikutan kenaikan harga diesel yang akan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kelangsungan industri padi serta sekali gus membebankan golongan petani.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, pada 2024 kenaikan sekitar RM1.20 sudah menyebabkan kira-kira 55 peratus kos operasi terpaksa ditanggung petani, apatah lagi berapa pula petani perlu tanggung dengan harga semasa sekarang.

Walaupun jelasnya, setakat ini pengusaha jentera masih belum menaikkan kadar perkhidmatan, namun kenaikan harga dijangka berlaku dalam masa terdekat.

“Sebelum ini kadar pembajakan selepas penyasaran diesel 2024 mencecah sekitar RM120 bagi satu relung, manakala bagi satu hektar boleh mencecah antara RM400 hingga RM500 untuk satu pusingan dan kos itu pasti akan terus meningkat.

“Para pesawah juga bimbang tidak mampu menanggung kos yang semakin tinggi dan menggesa kerajaan meneliti semula keperluan sektor penanaman padi,” tegasnya lagi.

Justeru beliau juga mencadangkan reformasi menyeluruh terhadap industri padi termasuk aspek harga lantai, belian padi dan kos input seperti benih dilaksanakan.

Katanya lagi, ketika ini ramai pesawah terpaksa mencari sumber pendapatan tambahan kerana hasil daripada tanaman padi sahaja tidak mencukupi, apatah lagi apabila kos perkhidmatan yang dijangka akan meningkat lagi. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -