
KUALA TERENGGANU: Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang bertemakan ‘Satu Ummah’ bertujuan memperkukuh agenda perpaduan ummah di seluruh Alam Melayu sebagai langkah mendesak dalam menghadapi cabaran semasa.
Pengarah program, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha memperkasa kesatuan itu penting berikutan landskap sosial, ekonomi dan geopolitik global yang semakin tidak menentu ketika ini.
“Sehubungan itu, saya ingin mengalu-alukan kedatangan semua tetamu dari dalam dan luar negara serta seluruh penduduk Negeri Terengganu ke program ini. Semoga kehadiran anda semua menambahkan lagi keberkatan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, agenda perpaduan ummah yang diketengahkan bersifat inklusif, meliputi perpaduan dalam kalangan umat Islam yang bertunjangkan keimanan serta perpaduan merentas kaum dan agama yang berpaksikan kemanusiaan.
“Nilai keadilan, kesederhanaan, kedamaian dan kebenaran yang bersumberkan hukum syarak dan selari dengan maqasid syariah mesti menjadi panduan dan pegangan semua demi meraih kesejahteraan yang sebenar,” katanya.
Jelasnya lagi, antara cabaran utama yang boleh menggugat perpaduan ummah termasuk kepimpinan yang tidak amanah, kelonggaran dalam pegangan agama, pertelingkahan dalam perkara cabang, selain ekstremisme agama dan kaum.
“Selain itu, penyebaran fitnah dan berita palsu serta adu domba pihak luar adalah unsur-unsur yang akan merosakkan perpaduan ummah justeru mesti ditangani secara lebih menyeluruh dan dengan lebih berkesan,” katanya.
Program yang dijadual bermula esok itu dijangka menghimpunkan tokoh-tokoh dalam dan luar negara, termasuk Mantan Naib Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Duta Besar Iran ke Malaysia, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi dan Pendakwah Antarabangsa, Dr Zakir Naik.
Acara kemuncak, Pidato Penyatuan Ummah pada 4 April ini turut menampilkan barisan pemimpin pelbagai parti antaranya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Hj Daud, Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Dr Mahathir, Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya, Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa.
Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu berkata, penganjuran program itu diharap dapat memperjelas hala tuju perpaduan ummah sekali gus menggerakkan masyarakat ke arah kebaikan sejagat. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











