
BEBERAPA bulan sebelum persiapan Ijtimak, seluruh panitia mengerah kudrat untuk memastikan perjalanan acara skala antarabangsa ini berjalan dengan baik. Kesenjangan masa panjang selama 12 tahun menyebabkan tidak mudah untuk menghubungi wakil-wakil gerakan Islam antarabangsa untuk dihimpunkan dengan memerlukan kos yang besar. Haji Husein Ismail, mantan Exco Dewan Pemuda Pusat yang juga sosok penggerak utama misi bantuan kemanusiaan antarabangsa menjadi pengarah Ijtimak. Cikgu Husein dengan seribu kepakaran, pernah terlibat dalam dua ijtimak antarabangsa sebelum ini maka pengalaman berharga inilah yang memandu perjalanan mesyuarat ijtimak.
Rusila dipilih sekali lagi sebagai tapak ijtimak kerana perkampungan yang melandai dengan jajaran pantai ini mampu memuatkan ratusan ribu pengunjung. Beberapa bulan sebelum berlangsungnya himpunan mega ini, himpunan kecil peringkat kawasan telah diadakan. PAS pula dalam tahun 2014 sehingga Muktamar 2015 agak ‘bergelombang riak arus bawah’ dalam parti namun ianya tidak menganggu kelancaran ijtimak.
Jualan lencana (button badge) Ijtimak bergerak beberapa bulan lebih awal; ianya juga membantu untuk menghimpunkan dana sekaligus mempromosikan ijtimak. Kelebihan utama ijtimak pada tahun 2015 ialah jawatan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Dunia di mana Almarhum Sheikh Dr Yusuf Qardhawi sebagai Ketuanya. Pemaparan wajah dua tokoh ini dalam pengiklanan ijtimak juga sebagai tarikan pesona terbesar dalam menarik kehadiran peserta.
Sebelum berlangsungnya ijtimak yang gilang gemilang itu, usaha menjemput tokoh-tokoh gerakan Islam dunia telah berjalan. Penulis sempat ke Algeris dan Tunisia bersama rombongan pendidikan PAS Terengganu yang dipimpini oleh Tuan Guru Presiden. Persiapan logistik untuk menjayakan ijtimak ini berjalan rapi, paling tidak setaraf dengan Itimak Alami yang dianjurkan oleh Jamiat Islami di Pakistan.
Negeri Terengganu tersenyum menyambut kehadiran tetamu jauh dan dekat. Bendera hijau bulan purnama mengibar megah bermula dari sempadan Besut hingga ke Kemaman. Anak-anak muda berkonvoi motorsikal dari segenap pelusuk negeri sementara bas-bas sewaan khas membawa rombongan muslimah dari pelbagai arah.
Euforia bahagia menebar aroma ke seluruh pelusuk negeri. Rakyat negeri penyu menangis ini tingkah meningkah bertanya khabar program apa di lahan Rusila. Momentum ijtimak ini juga yang membawa kepada bertukarnya kerajaan negeri Terengganu pada Mei 2018.
Perasmian ijtimak berlangsung dengan meriah dengan puluhan negara umat Islam menghantar wakil gerakan Islam masing-masing. Selain Rusila, Kompleks TER di Kuala Ibai menjadi tempat berhimpun figura-figura besar gerakan Islam dunia. Pelbagai acara diselitkan dalam tempoh tiga hari yang meriah, ratusan ribu ummat Islam membanjiri perkampungan Rusila.
Ijtimak ini mengangkat pelbagai isu ummat, termasuk isu Palestin dan isu kesatuan gerakan Islam. Pada malam perasmian ijtima, pentas utama Dewan Tok Guru Rusila menampilkan Almarhum Dato’ Dr Haron Din dan Ustaz Azhar Idrus dengan penampilan khas lagu tema ijtimak oleh kumpulan nasyid Shoutul Amal. Almarhum Bob Lokman, anak seni yang sarat pengalaman mengendalikan majlis pada malam perasmian.
Jom seluruh abnaul harakah, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kembali lagi bertandang ke bumi Terengganu! Semarakkan semangat jihad untuk membentengi deenullah ini, apatah lagi di zaman edan carut marut kehidupan ini. Pastikan kita hadir di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak pada 2 sehingga 4 April ini. Jom teman-teman amilin!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/4/2026











